UALA LUMPUR, 1 Feb — Bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol David dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia dengan meraih undi majoriti dalam undian dalam talian yang ditutup pada jam 9 malam tadi.
Sebagai calon tunggal Asia, juara dunia sebanyak lapan kali itu, ternyata unggul sebagai pendahulu sejak hari pertama undian dibuka pada 8 Jan lalu apabila menerima 318, 943 undi, kelebihan 200,000 undi daripada pencabar terdekat.
Menurut laman sesawang rasmi Sukan Dunia, https://www.theworldgames.org., bekas pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun berturut-turut itu mengatasi 23 atlet lain yang mewakili sukan masing-masing daripada kesemua edisi Sukan Dunia selama 40 tahun itu.
“Ia adalah satu penghormatan buat diri saya apabila dicalonkan untuk anugerah ini dan menerima sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia serta komuniti skuasy.
“Ia agak mengejutkan melihat diri saya disenaraikan bersama atlet terkemuka dunia yang lain dan saya bersyukur untuk anugerah ini. Semoga kejayaan ini dapat meningkatkan perhatian dunia terhadap sukan skuasy.
“Ini adalah saat yang membanggakan untuk mewakili negara saya dan Asia,” demikian reaksi bekas atlet kelahiran Pulau Pinang berusia 37 tahun itu.
Pencabar terdekat ialah legenda tarik tali Ireland, James Kehoe yang memperoleh 113,120 undi diikuti atlet powerlifiting wanita dari Ukraine, Larysa Soloviova, yang berada di tempat ketiga dengan 80,790 undi.
Top Ten results from @TheWorldGames GOAT poll …@NicolDavid the clear winner !!https://t.co/k9H6FJwAkA pic.twitter.com/LLZZu2ASIe
— Squash Site (@SquashSite) February 1, 2021
Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA), Jose Perurena mengucapkan tahniah kepada para calon sambil menambah Nicol bertindak sebagai inspirasi dan teladan yang baik kepada atlet muda.
“Saingan ini adalah luar biasa dan bagus untuk melihat bagaimana atlet mendapat sokongan bukan sahaja dari sukan mereka sendiri tetapi juga negara mereka dan pihak berkuasa sukan di sana. Sukan benar-benar menyatukan rakyat dengan cara yang istimewa,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) Zena Wooldridge berkata kejayaan Nicol adalah pengiktirafan terhadap karier luar biasa yang menyaksikannya mencipta pelbagai rekod dan memenangi semua gelaran yang ditawarkan dalam sukan itu.
Anugerah tersebut dianjurkan oleh IWGA sebagai sambutan ulang tahun ke-40 acara Sukan Dunia itu yang pertama kali diadakan di Santa Clara, California, Amerika Syarikat pada 1981.
Sebagai rekod, pemain hoki dari India, Ritu Pani memenangi anugerah Atlet Terbaik Sukan Dunia bagi edisi 2019.
— BERNAMA