Noah Lyles Pengidap Asma Dan Disleksia, Namun Tidak Menghalangnya Untuk Menjadi Manusia Terpantas Di Muka Bumi Ketika Ini

Noah Lyles – juara 100 meter Paris 2024 – mendedahkan bahawa dia membesar dengan beberapa kekurangan dan masalah kesihatan serta pembelajaran.

Namun itu tidak menghalangnya untuk berjaya menjadi jaguh pecut di Olimpik 2024 dan mendapat gelaran manusia terpantas di muka bumi pada ketika ini.

Lyles menyatakan bahawa dia sebenarnya seorang yang membesar dengan masalah asma, disleksia, masalah alahan, ADD, anxiety dan depresi.

Attention Deficit Disorder (ADD) adalah masalah sukar memberi tumpuan dan mengawal desakan diri yang turut merangkumi hyperactivity iaitu keaktifan melampau.

Masalah disleksia adalah berkaitan dengan masalah pembelajaran di mana seseorang itu ada kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bercakap.

Ramai yang menganggap masalah masalah tersebut menjadi halangan untuk berjaya dalam acara sukan terutama sekali masalah asma dan acara pecut 100 meter. Tetapi Lyles berkata, kelemahan yang ada pada seseorang itu tidak menentukan apa yang seseorang itu boleh capai.

Dan dia berjaya membuktikan bahawa dia mampu untuk meraih emas di peringkat tertinggi iaitu Sukan Olimpik.

Menerusi Twitter miliknya, Lyles berkata: “Saya mengidap asma, alahan, disleksia, ADD, anxiety dan kemurungan. Tetapi saya akan memberitahu anda bahawa apa yang anda miliki tidak menentukan apa yang anda boleh menjadi. Kenapa Bukannya Kamu!”

Noah Lyles yang pernah dilanda kontroversi selepas dia mengkritik media USA dan peminat sukan negara itu yang menjulang juara NBA sebagai juara dunia. Sedangkan menurut Noah Lyles, sukan NBA hanya dimainkan di Amerika Syarikat.

Lyles akui dia mendapat banyak tekanan, namun dia berjaya mengatasinya. Dan dia membawa pulang pingat emas olimpik yang pertama di dalam kariernya sebagai atlet.

Sekaligus menamatkan penantian emas selama 20 tahun Amerika Syarikat dalam acara pecut 100 meter. Lyles berjaya mengatasi lawannya Kishane Thompsons dalam persaingan yang dianggap antara yang paling sengit di dalam sejarah.

Photo finish diperlukan untuk menentukan siapa pemenang. Kedua dua pelumba mencatatkan masa 9.79 saat namun hanya dipisahkan dengan detik sahaja.

Lyles sebelum ini cemerlang dalam kejohanan remaja dan kejohanan siri dunia yang lain. Menjadikan dia atlet elit untuk Amerika Syarikat.