Norza: Kejayaan Singapura Raih Gelaran Dunia Satu ‘Wake-up Call’

KUALA LUMPUR – Kejayaan pemain perseorangan lelaki Singapura, Loh Kean Yew menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2021 disifatkan sebagai wake-up call (peringatan) kepada arena badminton negara.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, wake-up call itu perlu diambil dari sudut positif sambil menyifatkan Malaysia tidak bernasib baik pada kempen kejohanan di Huelva, Sepanyol itu.

Beliau berkata, malang bagi Malaysia apabila terlepas peluang keemasan meraih gelaran dunia susulan sandaran terbaik negara dalam acara perseorangan lelaki, Lee Zii Jia tidak dapat meneruskan cabaran selepas mengalami kecederaan di peringkat suku akhir.

“Ia seperti sekali dalam beberapa tahun peluang ini datang, malangnya, kami tidak mengambil peluang ini. Ia juga menunjukkan kami masih belum (sampai ke tahap itu) dan juga kami masih bergantung kepada beberapa pemain, tugasan adalah untuk memperluaskan peluang dengan mempunyai lebih ramai pemain bertaraf dunia.

“Apa pun yang berlaku dengan Loh Kean Yew juga merupakan wake-up call bagi kami tetapi kami ambil ia dari sudut positif, kami gembira Singapura telah memenanginya dan pemburuan (untuk memenangi gelaran juara dunia) terletak di bahu kami, untuk menaikkan tahap badminton ke tempat yang lebih tinggi secepat mungkin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Isnin.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) dipengerusikan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mempunyai tugas berat selepas ini untuk mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki segera menjelang saingan musim 2022.

“Sudah tentu kami perlu menerima bahawa kita adalah antara negara yang masih mengejar kegemilangan juara dunia, namun seperti yang saya katakan pemain semuanya WIP (work in progress atau dalam pembangunan) – ada kelemahan yang perlu diratifikasi oleh Datuk Kenny dan saya percaya beliau akan membuat perubahan tidak lama lagi,” katanya.

Kean Yew yang merupakan pemain di ranking ke-22 dunia merangkul gelaran juara dunia selepas menewaskan wakil India K Srikanth 21-15, 22-20 pada aksi final yang berlangsung di Palacio de los Deportes Carolina Marin pada Ahad.

Ia sekali gus menyaksikan Kean Yew muncul pemain pertama Singapura yang merangkul gelaran itu.=

Sumber – BERNAMA