Obi Mikel Dedahkan Abramovich Pernah Tawar Hantar ‘Orang Dia’ Bantai Penculik Ayahnya

John Obi Mikel simpati dengan nasib Luis Diaz apabila ibu dan ayahnya diculik. Ibunya dibebaskan beberapa jam selepas diculik namun ayahnya kekal ditahan.

Dalam aksi minggu lalu, Luis Diaz meraikan golnya dengan menunjukkan mesej pada t-shirt meminta agar ayahnya dibebaskan. EPL memutuskan tidak menghukum Luis Diaz sebagai pengecualian khas. Walaupun peraturan menyebut bahawa pemain pemain dilarang menunjukkan sebarang mesej pada baju mereka ketika beraksi atas padang.

John Obi Mikel sangat faham perasaan Luis Diaz kerana ayahnya pernah diculik pada 2018. Hanya beberapa jam sebelum dia bermai perlawanan terbesar dalam kariernya. Ayahnya diculik dan dijadikan tebusan di Nigeria ketika Obi Mikel sedang dalam persiapan menentang Argentina dalam Piala Dunia di Rusia.

Obi Mikel berkongsi bagaimana dia menerima panggilan daripada Roman Abramovich yang sedia membantunya dengan menghantar orangnya ke sana jika dia mahu dan pergi membantai penculik ayahnya dengan kepakaran mereka.

Obi Mikel berkata: “Ayah saya diculik ketika saya bermain untuk pasukan kebangsaan pada Piala Dunia 2018 di Rusia. Ketika itu saya dalam persiapan menentang Argentina untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.”

“Dua jam sebelum sepak mula, saya mendapat panggilan daripada abang saya menyatakan ayah kami sudah diculik untuk kali kedua di Nigeria.”

“Sebelum ini dia pernah diculik pertama kali, dan mereka meminta wang tebusan sangat banyak. Dan saya memang harus membayarnya agar ayah saya dibebaskan.”

“Namun kali kedua, ketika saya bermain untuk negara, abang saya menghubungi saya dan menyatakan bahawa ayah kami diculik sekali lagi buat kali keduanya.”

“Ini benar benar mengejutkan. Yang pertama dulu pun cukup mengejutkan, yang kedua lebih mengejutkan, ketika itu saya baru nak bermain perlawanan terbesar dalam hidup saya untuk negara saya.”

“Mengetahui berita ayah saya diculik lagi, sangat sangat menyedihkan saya. Saya tak mampu keluar daripada bilik penginapan saya, tak mampu nak memberitahu orang di sekeliling saya. Saya bersendirian selama 30 minit. Memikirkan apa yang saya harus lakukan.”

“Patutkah saya memberitahu pengurus, patutkah saya memberitahu rakan sepasukan atau saya membuat pengumuman di hadapan semua. Sekarang ini, kami ketika itu dalam persiapan untuk perlawanan terbesar dalam hidup kami. Kami dalam persiapan untuk menentang Lionel Messi dan Argentina.”

“Jadi saya berfikir panjang tentangnya. Saya pun memutuskan untuk berdiam sahaja. Saya hubungi mak dan abang saya, semua orang menangis di telefon. Mereka berkata, kamu tak perlu masuk padang untuk bermain nanti kamu akan bermain dengan teruk.”

“Saya mengambil sedikit masa dan memutuskan untuk masuk ke padang dan memberikan persembahan terbaik. Saya harus bermain. Jadi saya tidak memberitahu sesiapa tentang perkara itu. Saya masuk ke padang bermain, malangnya kami gagal menang dalam perlawanan itu. Selepas tamat perlawanan barulah saya memberitahu semua orang.”

“Di bilik persalinan, pengurus dan rakan sepasukan saya hampir menitiskan air mata mendengar cerita saya. Mereka berkata, saya harus beritahu mereka awal awal dan tidak perlu turun bermain.”

John Obi Mikel kemudian berkongsi cerita bagaimana Roman Abramovich cuba membantunya dengan sedia menghantar orang suruhannya, dipercayai pasukan keselamatan khas yang pakar dalam pertempuran untuk membantunya.

Sambil dia memuji tindakan Liverpool dalam memberikan sokongan kepada Luis Diaz.

Mikel menambah: “Chelsea sangat menyokong saya. Saya ingat lagi Roman Abramovich call saya, ‘hei, kamu nak saya hantar orang saya ke sana? Sebab saya tahu, kalau saya hantar bebudak saya ke sana, mereka akan dapat keluarkan ayah awak’.”

“Saya terkejut, dan bertanya, macamana kamu nak lakukannya?”

“Roman meminta saya agar tidak perlu risau. Dia berkata: ‘Itu kamu jangan risau, beritahu saya saja jika kamu nak ikut cara saya tadi, saya boleh tolong’.”

“Saya gembira melihat Liverpool sangat menyokong pemain mereka. Kredit harus diberikan kepada apa yang mereka buat.”

“Kamu harus menunggu, sebab mereka akan hubungi kamu. Mereka akan meminta itu dan ini daripada kamu. Mereka cakap dengan saya, jika permintaan mereka tak dituruti, kepala ayah saya akan pecah ditembak, ‘kami akan bunuh ayah kamu’ kata mereka.”

“Saya mendenga ayah saya menangis dalam telefon dan meminta saya memberikan saya apa saja mereka nak kerana ayah saya sudah dipukul oleh mereka dan ada senapang diacukan pada kepalanya, mereka berkali kali mengugut mahu membunuh ayah saya. Saya terpaksa mengeluarkan wang sangat banyak untuk membebaskan ayah saya daripada mereka.”

“Saya sangay faham apa yang Luis Diaz sedang lalui dan berharap dia kekal kuat. Saya tahu ini masa paling sukar untuknya sebagai pemain. Saya tahu perasaan keluarganya ketika ini menghadapi masalah ini.”

“Kamu ada adik beradik, ibu kamu, dan mereka pun menghadapi perkara ini dengan sukar sekali. Pesanan saya kepadanya, kekal kuat dan lakukan apa sahaja yang kamu mampu untuk memastikan ayah kamu dibebaskan.”