Ole Gunnar Solskjaer akhirnya mendedahkan ada 3 pemain yang dia benar benar mahukan ketika di Man United ketika menjadi pengurus. Namun kesemuanya tidak dapat diberikan oleh kelab kepadanya.
Ketika itu ketiga tiga pemain tersebut berada pada harga sangat rendah daripada yang hari ini.
Solskjaer mengendalikan United dalam 168 perlawanan, dengan rekod 91 kemenangan. Itu bermakna ia ratio 54% kemenangan.
Pada November 2021, dia dipecat selepas kekalahan 1-4 di tangan Watford.
Solskjaer mengakui dia menerima beberapa tawaran lain selepas meninggalkan Man United. Namun dia masih mahu bertenang terlebih dahulu.
Dan terbaru legenda United berusia 51 tahun itu berkongsi tentang 3 pemain yang dia mahukan.
Sepanjang di United Solskjaer menggunakan dana perpindahan sebanyak £245 juta. Namun ada beberapa pemain bukan pilihan utama beliau.
Siapakah 3 pemain yang Solskjaer mahukan?
1. Erling Haaland
Sebelum tiba di United lagi, Solskjaer pernah mencadangkan kelab untuk mendapatkan Haaland. Ketika itu pemain remaja bernama Haaland dilatihnya di Molde.
Malangnya kelab ketika itu merasakan angka €15 juta diminta oleh Molde terlalu mahal.
Seterusnya ketika mengendalikan United, Solksjaer sekali lagi meminta United mendapatkan Haaland dengan nilai €20 juta.
United terlepas Haaland kerana mereka terlalu lambat bertindak serta mendakwa Haaland tak cukup bagus dan akhirnya Dortmund mendapatkan Haaland yang kemudian menyertai Man City.
Hari ini Haaland menjadi antara penggempur terbaik dunia. Menjaringkan 80 gol daripada 84 perlawanan dan sudah memenangi 4 trofi bersama City.
Solskjaer berkata: “Saya pernah ada Haaland ketika di Molde selama 2 musim. Musim panas sebelum saya datang ke Manchester United, saya telefon kelab dan berkata, kamu wajib beli budak ini. Dia luar biasa.
“Itu sekitar Jun atau Julai 2018, dan kelab cakap tidak mahu. Mereka menyatakan bahawa mereka sudah ada laporan yang cukup untuk pemain itu dan kurang meyakinkan mereka.
“Kemudian saya menjadi interim di Man United, dan kelab kami menjual Haaland ke RB Salzburg.
“Saya terus cakap dengan kelab bahawa saya nak beli Haaland kerana dia ada klausa pelepasan. Kami tahu masa itu, tiada kelab sanggup bayar €20 juta untuk Haaland, itu saya rasa harga murah.
“Saya yakin boleh pujuk Haaland walaupun dia ada hubungan dengan City dan Leeds menerusi ayahnya Alfie.
🇳🇴 Stick to Football: Solskjaer 🇳🇴
🔴 Manchester United Exit
👀 Haaland, Bellingham, Rice
✍️ Signing Cristiano Ronaldo
🏆 Winning The TrebleThe episode is available now on YouTube and all major podcast platforms!
— The Overlap (@WeAreTheOverlap) March 6, 2024
“Itu keputusan kelab untuk tidak membidanya. Kami tak pernah membidanya secara rasmi, sehinggalah ketika dia menjaringkan gol yang banyak di Salzburg.
“Ketika itu Borussia Dortmund ada di situ, Juve ada di situ nakkan dia. Semua kelab mahukannya. Dia ada klausa pelepasan yang saya rasa masih murah €60 juta je.”
2. Jude Bellingham
Ketika di United Solskjaer pernah meminta kelab membeli Jude Bellingham sebagai bakat Inggeris luar biasa.
Jude kini bermain untuk Real Madrid dan sudah mencetak 20 gol pada musim debutnya. Pemain itu juga menyertai Haaland di Dortmund sebelum ini.
Ketika nama Bellingham meningkat naik di Birmingham, Solskjaer benar benar mahukan pemain itu.
Malah keluarga Bellingham turut dijemput melawat Old Trafford dan pusat latihan Carrington dengan Sir Alex Ferguson, Bryan Robson serta Eric Cantona ada sekali ketika itu.
Solskjaer bercakap dengan ketua bahagian rekrut pemain Matt Judge untuk segera mendapatkan pemain itu.
Malangnya Bellingham mahukan jaminan untuk menjadi pemain kesebelasan utama secara langsung.
United tidak dapat memberikan jaminan itu dan dia mendapat jaminan tersebut di Dortmund. Dan dari situ dia berkembang menjadi bakat elit di dunia.
Ole berkongsi cerita: “Jude [Bellingham], dia berada di kompleks kami. Saya ada di situ, Sir Alex pun ada, Bryan Robson, Eric Cantona, semua ada kat situ ketika dia datang melawat kelab.
“Kami bercakap dengannya. Dan dia sudah jelas bahawa dia mahukan minit permainan tertentu dengan pasukan utama. Masa tu dia baru 17 tahun, dia pemain 17 tahun yang paling matang pernah saya jumpa.
“Dia sudah ada segala perancangan untuk dirinya sendiri.
3. Declan Rice
Nama Declan Rice turut menjadi sasaran Ole. Dia awalnya mahu memasangkan Rice dengan Bellingham sebagai pasangan tengah masa depan kelab.
Namun kelab pada masa itu tidak sanggup membayar angka £100 juta diminta West Ham. Beberapa tahun kemudian Arsenal membayar £105 juta untuk pemain itu. Dan setakat ini sudah menunjukkan dia berhak dibeli semahal itu.
Solskjaer mengimbas kembali detik dia mahu mendapatkan Declan Rice.
“Saya sangat suka dengan dia [Declan Rice] sebagai seorang pemain. Kami ada bercakap dengannya beberapa kali. Dan saya rasa, bahagian tengah kami akan lengkap dengan adanya dia. Kakinya, cara dia menguasai padang, dan saya rasa dia sudah banyak berkembang sebagai seorang playmaker.
“Jelas sekali, dia memerlukan kamu membayar wang yang besar, namun saya rasa kami patut dapatkan dia masa itu.