Ozil Gantung But Pada Usia 34 Tahun

Bekas pemain tengah Real Madrid dan Arsenal, Mesut Ozil telah mengumumkan persaraannya daripada bola sepak profesional pada usia 34 tahun.

Mesut Ozil, yang merupakan sebahagian daripada skuad juara Piala Dunia Jerman pada 2014, telah menghabiskan tiga musim lalu dalam Liga Super Turki.

Dia memutuskan untuk bersara selepas hanya membuat empat penampilan liga untuk Basaksehir, yang disertainya sebagai ejen bebas tahun lalu.

Mesut Ozil bersara daripada tugas antarabangsa pada 2018 di tengah-tengah perdebatan politik di Jerman mengenai kemasukan pendatang dan selepas reaksi balas terhadap gambar yang diambil dengan Presiden Turki Tayyip Erdogan, mengatakan dia berdepan “isu perkauman dan rasa tidak hormat” terhadap keturunan Turkinya.

Ozil ketika itu menyatakan bahawa di Jerman, dia akan dianggap rakyat Jerman ketika menang dan imigran ketika kalah.

Pemain tengah itu membuat 645 penampilan kerjaya untuk kelab dan negara, termasuk 254 untuk Arsenal sepanjang tujuh tahun.

Dia beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA pada 2014, 2015 dan 2017, membantu pasukannya meraih kemenangan dalam ketiga-tiga perlawanan di Wembley.

“Selepas pertimbangan yang bernas, saya mengumumkan persaraan serta-merta daripada bola sepak profesional,” tulis Ozil dalam satu pengumuman yang disiarkan di Twitter.

“Saya mempunyai keistimewaan untuk menjadi pemain bola sepak profesional selama hampir 17 tahun sekarang dan saya berasa amat bersyukur dengan peluang itu.”

“Tetapi dalam beberapa minggu dan bulan kebelakangan ini, setelah mengalami beberapa kecederaan, ia menjadi semakin jelas bahawa sudah tiba masanya untuk tinggalkan pentas besar bola sepak tertinggi.”

“Ia adalah satu perjalanan yang menakjubkan yang dipenuhi dengan detik dan emosi yang tidak dapat dilupakan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab saya – Schalke, Werder Bremen, Real Madrid, Arsenal FC, Fenerbahçe, Basaksehir dan jurulatih yang menyokong saya, serta rakan sepasukan yang telah menjadi kawan saya.”

“Terima kasih khas harus ditujukan kepada ahli keluarga saya dan rakan-rakan terdekat saya.”

“Mereka telah menjadi sebahagian daripada perjalanan saya sejak hari pertama dan telah memberikan saya begitu banyak kasih sayang dan sokongan, melalui masa senang dan susah.”

Ozil dianggap antara playmaker no.10 terbaik di dalam sejarah bola sepak.

Dia merupakan pemain yang sangat kreatif. Dianggap pemain genius oleh Arsene Wenger.

Selamat bersara Mesut Ozil!

Baca yang lain