Ozil Salahkan Barcelona Punca El Clasico Hilang Prestij: “Mereka Di Era Kejatuhan Dan Suka Salahkan Pengadil”

Mesut Ozil menyatakan bahawa el clasico hari ini tidak setanding dengan eranya dulu. Di mana ketika itu seluruh dunia memberikan tumpuan kepada aksi Real Madrid vs Barcelona.

Kedua dua pasukan memiliki skuad yang hebat pada masa itu dengan adanya nama seperti Lionel Messi dan CR7 yang mengetuai barisan serangan pasukan masing masing.

Malangnya pada hari ini, el clasico tidak semeriah itu lagi, malah Ozil menyatakan orang lebih menunggu aksi Manchester City vs Liverpool dan aksi EPL besar yang lain berbanding el clasico.

Ozil menyalahkan Barcelona sebagai punca el clasico tidak sepopular seperti zamannya dulu. Isu kewangan yang melanda Barcelona membuatkan pasukan itu tidak dapat membeli bintang nama besar.

“Pada era saya dulu, perlawanan el clasico adalah perlawanan terbesar di dunia. Malangnya untuk kami pada masa itu, kami berdepan dengan Barcelona yang mungkin merupakan pasukan terbaik dalam sejarah.

“Barcelona di bawah Pep Guardiola adalah pasukan yang di kelas tersendiri. Tentu sekali berbeza dengan Barca yang hari ini.

“Pada pandangan saya, hari ini, fokus lebih kepada Liverpool lawan Manchester City dan beberapa aksi Liga Perdana Inggeris yang lain.

“Prestij el clasico telah merosot dan ianya agak memalukan. Namun itu bukan salah Real Madrid, kerana mereka adalah salah satu pasukan terbaik di dunia pada masa ini.

“Masalahnya sekarang Barcelona telah merosot,” kata Mesut Ozil.

Ozil kemudian meminta Barcelona agar tidak kuat merengek dan suka menyalahkan pengadil. Komen Ozil itu mungkin merujuk kepada baru baru ini Xavi menuduh pengadil punca Barcelona tersingkir dari UCL. Bekas pengendali Barca yang menyingkirkan Barca iaitu Luis Enrique kurang setuju dengan komen Xavi.

Kerana menurut Enrique, PSG pasukan yang lebih baik dalam dua aksi timbal balik dan berhak untuk mara. Enrique malah percaya melawan 10 atau 11 pemain Barca, skuad PSG bimbingannya tetap akan mara ke separuh akhir.

Ozil menamhah: “Barcelona sedang mencuba dan berjuang. Mereka ada pemain yang bagus di kesemua posisi. Sayang sekali mereka berdepan banyak kecederaan musim ini.

“Pada pendapat saya, mereka patut fokus kepada melihat diri sendiri dan merenung apa kesilapan mereka. Dan bukannya sentiasa menyalahkan pengadil. Ini tak akan membantu pun.

“Madrid pula ada musim yang luar biasa. Saya tidak menyangka mereka sebagus ini selepas pemergian Karim Benzema, namun mereka bermain dengan sangat baik.”

Sumber Ozil membawang: Marca

Baca yang lain