Ozil Sekolahkan Joachim Low Selepas Jerman Diaibkan Sepanyol 6-0

Mesut Ozil pantas memberikan komen pedas beliau kepada Joachim low sebaik sahaja Jerman diaibkan dengan kekalahan Jerman 6-0 di tangan Sepanyol dalam Liga Negara Eropah.

Pasukan Joachim Low dibelasah pada aksi sebelah malam Selasa. Die Mannschaft kelihatan sangat rapuh di barisan pertahanan dan membuatkan Neuer mengalami salah satu kekalahan terburuk di dalam kariernya.

Niklas Sule dan Robin Koch diturunkan sebagai kesebelasan utama dan memulakan perlawanan sebagai bek tengah. Sementara Jonathan Tah menggantikan Sule pada babak kedua.

Tetapi Ozil ada pandangan tersendiri. Di mana pesara pasukan kebangsaan Jerman itu menyekolahkan Joachim Low agar memanggil semula Jerome Boateng untuk memperkuatkan semula barisan pertahanan mereka.

“Masa untuk memanggil @JeromeBoateng kembali,” tweet pemain berusia 32 tahun itu.

Mesut Ozil jelas merasakan pasukan Jerman memerlukan bek tengah berpengalaman seperti Boateng untuk bermain di bahagian belakang.

Dalam aksi malam tadi, Ferran Torres meledak hatrik ke atas Jerman. Menjadikan beliau pemain pertama mencetak hatrik ke atas Jerman dalam aksi kompetitif sejak Michael Owen pada 2001.

3 lagi gol Sepanyol adalah menerusi Alvaro Morata, Rodri dan Mikel Oyarzabal.

Kenapa agaknya Mesut Ozil berkata begitu? Ozil mungkin merujuk kepada keputusan drastik Joachim Low pada tahun lalu.

Tahun lalu Joachim Low mengejutkan dunia apabila dengan terbuka menyatakan bahawa trio Boateng, Mats Hummels dan Thomas Muller yang berpengalaman tidak akan lagi tampil untuk pasukan kebangsaan.

Low: Mereka tidak akan bermain lagi

Ketiga-tiga pemain itu adalah sebahagian dari pasukan pemenang Piala Dunia 2014, tetapi Low percaya sudah tiba masanya untuk beberapa wajah baru ke dalam pasukan.

Low menjelaskan: “2019 adalah permulaan baru bagi pasukan kebangsaan Jerman. Penting bagi saya untuk menjelaskan keputusan saya secara peribadi kepada pemain dan pengurusan FC Bayern.”

“Sekarang sudah waktunya untuk mengatur jalan untuk masa depan kami. Kami ingin memberikan nafas baru kepada pasukan. Saya yakin bahawa ini adalah langkah yang tepat.”

“Para pemain muda yang akan datang akan memiliki ruang yang mereka perlukan untuk berkembang. Sekarang terserah kepada mereka untuk memikul tanggungjawab itu.”

Hummels antara yang mengecam tindakan Low itu kerana merasakan dirinya masih mampu beraksi di peringkat tertinggi. Agak ironi pada musim yang sama Hummels menjadi pertahanan terbaik Bundesliga.

Sementara itu, Ozil, bersara dari tugas antarabangsa pada tahun 2018, pernah menyebut diskriminasi tidak adil sebagai alasan keputusan persaraannya.

Bintang Arsenal itu dikritik kerana bertemu dengan presiden Turki Recep Tayyip Erdogan. Yang membuatkan beliau dikecam teruk oleh media dan peminat Jerman.

Ozil kemudian tampil menyatakan di Jerman, apabila menang, ianya dianggap kemenangan milik bersama. Namun apabila kalah, pemain sepertinya akan dilabel imigran.

Legenda Jerman, Lothar Mathhaus juga menyatakan bahawa, sudah tiba masanya Joachim Low memanggil semula Thomas Muller, Jerome Boateng dan juga Mats Hummels.

Thomas Muller sejak musim lalu berada dalam tahap terbaik di dalam kariernya sekali lagi. Di mana Muller menjaringkan gol yang sangat banyak dan membantu Bayern menamatkan musim lalu dengan kejayaan treble.

Thomas Muller menjadi nadi penting skuad Hansi Flick di Bayern dalam kempen cemerlang mereka.

Mats Hummels dan Jerome Boateng turut masih berada dalam prestasi yang bagus. Hummels masih menjadi antara bek tengah terbaik di Jerman pada ketika ini.

Baca yang lain