Panas Isu Lesen FINAS, Menteri Tampil Berikan Penjelasan Anggap Kenyatannya Di-spin

Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah baru baru ini telah menjelaskan tentang isu membabitkan rakaman video yang perlu dilakukan mereka yang ada lesen.

Isu lesen FINAS

Laporan sebelum ini menyebut bahawa, segala bentuk penggambaran memerlukan lesen Finas, termasuk rakaman media sosial peribadi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Ditanya adakah keperluan lesen itu turut diterpakai ke atas mereka yang menggunakan platform media sosial seperti Instagram dan TikTok, beliau berkata semua penggambaran tertakluk kepada undang-undang berkenaan.

“Penerbit filem, wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) tidak kira mereka adalah agensi media arus perdana atau media personal yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.

“Kita memang galakkan semua orang kecil besar, tua muda, individu atau organisasi untuk mengeluarkan apa-apa jenis filem seperti yang saya petik tadi asalkan ikut undang-undang sedia ada,” tambah beliau.\

Akta Finas merujuk filem sebagai sebarang bahan yang dirakamkan termasuk filem pendek, dokumentari, trailer dan filem iklan.

Menurut laman web Finas, untuk mendapatkan lesen bagi pembikinan filem dan penggambaran video, pemohon mesti berdaftar sebagai pemilik Syarikat Sdn Bhd dan mempunyai modal berbayar tidak kurang daripada RM50,000.

Ketika ditanya oleh Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai); adakah Youtuber Dustin Pfundheller yang mengeluarkan video bagi membalas dokumentari kontroversi Al-Jazeera mempunyai lesen Finas, Saifuddin berkata beliau akan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan jika ada aduan, tindakan akan diambil.

Lesen Finas mencuri tumpuan susulan keputusan kerajaan untuk menyiasat sama ada Al-Jazeera mempunyai lesen untuk menghasilkan dokumentari ataupun tidak.

Ini selepas media yang berpengkalan di Qatar itu yang menerbitkan dokumentari “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” yang mendedahkan layanan kerajaan terhadap warga asing tanpa dokumen ketika Malaysia berindak membasmi wabak Covid-19 di negara ini.

Ini mendatangkan kemarahan kepada Putrajaya yang mengecam dokumentari itu dan menyifatkannya sebagai berat sebelah. Pihak polis pula menyoal siasat pemberita yang terlibat dalam dokumentari tersebut sementara Jabatan Imigresen mula memburu warga asing yang ditemu bual dalam video tersebut.

Isu lesen FINAS ini mendapat reaksi daripada ramai pihak. Ramai yang kecewa dengan kenyataan tersebut.

Dan petang ini, Dato’ Saifuddin Abdullah memberikan penjelasan di atas perkara tersebut.

Beliau menerusi satu siaran media berkata:

“Terdapat laporan yang tular berkaitan dengan keperluan lesen FINAS untuk perfileman berikutan jawapan saya kepada soalan yang ditujukan oleh Ahli Parlimen Kluang di Dewan Rakyat pada pagi ini (23 Julai 2020).

Sebahagian daripada laporan tersebut memberikan gambaran yang tidak tepat sehingga membawa kepada makna yang berbeza daripada maksud jawapan saya.

Ketika menjawab soalan itu, saya hanya menerangkan tentang undang-undang yang sedia ada iaitu Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 [Akta 244] yang diluluskan Parlimen pada tahun 1981.

Akta tersebut telah digunakan selama ini. iaitu oleh kerajaan-kerajaan terdahulu. termasuk BN dan PR Pada 1981.

Teknologi pada masa itu tiada langsung media sosial seperti Tik Tok, YouTube dan sebagainya.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ambil maklum bahawa Akla ini perlu penambahbaikan. Ini telahpun saya nyatakan dalam sidang media Kad Laporan 100 hari saya sebagai Menteri KKMM pada 20 Jun 2020 iaitu KKMM sedang menilai semula semua undang-undang di bawah pengawasannya.

Perlu ditegaskan bahawa kerajaan PN tidak pernah dan tidak berniat menggunakan akta ini untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial, iaitu fenomena yang tidak wujud ketika Akta ini digubal.

Oleh yang demikian kami di KKMM terbuka untuk menerima apa-apa cadangan dalam memperbaiki bukan sahaja Akta dibahaskan pagi tadi,malah semua undang-undang di bawah pengawasan KKMM supaya bersesuaian dengan kehendak semasa.”

Baca yang lain