Menurut La Gazzetta dello Sport, Milan sedang berunding lanjutan kontrak Alessio Romagnoli tanpa bercakap dengan ejennya Mino Raiola kerana hubungan mereka selepas pemergian Gigio Donnarumma masih tegang.
Kapten Rossoneri itu, kontraknya akan tamat pada penghujung musim ini. Dan masih belum ada persetujuan yang dicapai.
Milan tidak dapat memuktamadkan perjanjian €6 juta setahun dan cuba mencapai persetujuan mengenai gaji yang lebih rendah dengan Romagnoli. Ini kerana situasi kewangan Milan menghalang mereka.
Diavoli akan menawarkan Romagnoli kontrak baharu €3.5 juta setahun, tetapi pemain itu mahukan sekurang-kurangnya €4.5 juta.
Rundingan antara kedua-dua pihak sedang berjalan dan La Gazzetta dello Sport melaporkan bahawa gergasi Serie A itu tidak melibatkan Raiola dalam rundingan dan bercakap dengan kapten mereka sahaja.
Bagaimanapun, Raiola mengambil bahagian dalam mesyuarat pada September untuk membincangkan syarat lanjutan Romagnoli.
Hubungan antara ejen dan gergasi Serie A itu masih tegang selepas Gigio Donnarumma keluar pada musim panas.
Il Milan "espelle" Raiola: Romagnoli tratta il rinnovo da solo. Si lavora su Theo, Leao e Bennacer https://t.co/MvbqDwCC21
— La Gazzetta dello Sport (@Gazzetta_it) November 9, 2021
Raiola permainkan AC Milan
Pemain berusia 22 tahun itu tidak menyambung kontraknya dengan Milan dan menyertai PSG secara percuma selepas Euro. Raiola dikatakan antara punca Donnarumma meninggalkan Milan.
Raiola beberapa kali bermain tarik tali dengan Milan. Mujur dia ke PSG. Kalau ke Juventus, kesedihan itu akan bercampur dengan kemarahan.
Donnarumma telah menjadi starter regular Milan sejak debutnya, ketika itu dia baru berusia 16 tahun. Zizang Itali itu telah membuat lebih dari 250 penampilan sejak itu.
Persembahan mengagumkan musim lalu membantu Milan menduduki tempat kedua dalam Serie A, membuatkan kembali ke Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kalinya sejak 2013-14.
Pemain muda itu juga memperoleh penghargaan Penjaga Gol Terbaik liga atas prestasi dan usaha kerasnya.
Super Gigio berkesempatan menjadi legenda di kelab untuk sebaris dengan nama seperti Franco Baresi dan Paulo Maldini tetapi sebaliknya, dia akan meninggalkan kelab itu dengan segera setelah gagal mencapai kesepakatan mengenai lanjutan kontrak.
PSG bersedia menandatanganinya dan pemain berusia 22 tahun dijangka akan diumumkan secara rasmi selepas Euro 2020.
Laporan menunjukkan bahawa kelab Paris itu menyamai permintaan Raiola dengan kontrak €12 juta setahun untuk Donnarumma.
Sesuatu yang tidak sanggup atau tak mampu dilakukan oleh Milan. Rossoneri telah menawarkan Gigio kenaikan gaji €2 juta, dari kontrak €6 juta setahun, kontrak bernilai €8 juta setiap musim.
Sebenarnya Raiola pada awalnya meminta €8.5 juta. Milan menawarkan €8 juta dengan harapan rundingan itu dapat dimuktamadkan. Tetapi Raiola mengejutkan Milan dengan meminta €12 juta selepas itu.
Raiola dapat RM 100 juta
PSG jelas telah memainkan peranan mereka dalam menambah lagi gajinya dan Raiola dilaporkan mendapat komisen €20 juta ataupun sekitar RM100 juta. Angka yang hampir sama dia dapat ketika perpindahan Paul Pogba ke United, yang lebih sedikit daripada angka ini.
Pasti ramai yang akan menyalahkan penjaga gol itu kerana mencari kekayaan melebihi kesetiaan. Sementara ini bukan kali pertama Raiola berjaya menjanjikan tawaran terbaik untuk kliennya. Raiola beberapa kali memainkan sentimen wang bukan segalanya, yang penting kliennya gembira.
Kembali pada tahun 2017, Donnarumma dijangka meninggalkan perpindahan percuma ke Juventus setelah menolak cadangan lanjutan kontrak.
Sebulan kemudian Donnarumma menandatangani kontrak dengan cara kontroversi termasuk meminta Milan memberikan kontrak kepada abangnya.
Raiola juga meminta bayaran agensi sebagai balasan dia telah meyakinkan kliennya untuk terus kekal selain daripada gaji €6 juta semusim untuk pemain berusia 18 tahun itu.
Sementara Raiola memainkan peranan penting dalam memastikan Milan membayar abang Donnarumma iaitu Luca dengan kontrak €1 juta semusim.
Romagnoli sedia kekal
Menurut laporan itu, Romagnoli bersedia untuk kekal di Milan dengan syarat Milan menuruti gaji yang dimintanya.
Namun Raiola masih tetap akan menjadi ejen beliau. Ini yang membuatkan situasi Romagnoli sangat sukar. Raiola sebelum ini dikatakan cuba meyakinkan pemain itu agar menyertai Juventus.
Kelab Turin itu juga cuba menyusun semula struktur gaji. Jika mereka dapat Romagnoli, Juventus boleh melepaskan De Ligt ke kelab lain. Selain daripada dapat mengurangkan gaji, Juve turut mendapat wang perpindahan masuk.
Chelsea antara pasukan yang berminat dengan De Ligt.
Milan sangat terdesak mahukan Romagnoli untuk terus kekal. Ini kerana Milan sudah pastinya tidak dapat berbelanja besar untuk membeli pemain pada kualiti yang sama, dengan harga yang tinggi.
Namun tidak pasti sama ada Raiola akan gembira dengan cubaan Milan berurusan secara terus dengan kliennya itu tanpa melalui dia sebagai ejen.