Jose Mourinho telah ditanya sendiri tentang pandangannya, adakah beliau merasakan Wesley Sneijder telah dirompak Ballon d’Or pada 2010.
Di mana Mourinho merupakan pengurus yang bekerjasama dengan Sneijder di Inter Milan untuk menjuarai kejuaraan treble pada ketika itu. Sneijder telah menjadi watak penting dalam kejayaan Inter.
Seterusnya Sneijder juga cemerlang membantu negaranya menjadi naib juara Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Lantas ramai pihak kurang senang dengan kemenangan Lionel Messi yang memenangi Ballon d’Or ketika itu.
Bercakap dalam podcast Rio Ferdinand, FIVE, Mourinho berkata: “Saya tak nak cakap ianya dirompak.”
Mourinho kemudian cuba menyemak kembali fakta siapa yang memenangi Ballon d’Or pada masa itu. Dan dia difahamkan bahawa pemenangnya ialah Lionel Messi.
Lalu Mourinho berkata, jika Messi atau Ronaldo yang menang, maka ianya tidak perlu dianggap dirompak kerana dua pemain itu terlalu unggul pada era mereka dan sentiasa konsisten.
“Sapa menang masa tu? Messi? Jadi itu bukan satu rompakan. Namun Wesley sudah memenangi treble, pemenang Liga Juara Juara Eropah, rasanya dia ke final Piala Dunia pada musim yang sama.
“Jadi Wesley berhak untuk berada di tiga teratas. Namun pada generasi sebelum ini, apabila Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi memenanginya, maka ianya tidak sama sekali disebut kena rompak,” tegas pengurus asal Portugal itu.
Jose Mourinho baru sahaja dipecat oleh AS Roma. Dan kini dia tidak ada kelab.