Pandu Mabuk Melanggar Orang Sehingga Maut, ‘Keeper’ B-23 Thailand Ditamatkan Kontrak

Chonburi FC secara rasmi menamatkan kontrak penjaga gol pasukan kebangsaan Thailand B-23 Worawut Sukhuna selepas kemalangan melanggar seorang pejalan kaki sehingga maut.

Worawut Sukhuna didakwa berada di bawah pengaruh alkohol sehingga tidak dapat mengawal kenderaannya ketika kejadian tersebut.

Kereta penjaga gol berusia 22 tahun itu hilang kawalan dan merempuh orang yang sedang bersenam di laluan basikal.

Insiden kemalangan maut itu berlaku di Liap Chai Thale Road, Chonburi.

Akibat kemalangan itu, seorang maut dan seorang lagi cedera parah.

Worawut Sukhuna telah ditahan oleh polis Thailand atas kes kemalangan yang menyebabkan kehilangan nyawa.

Sehari selepas kejadian itu, Chonburi FC selaku kelab Worawut Sukhuna kemudian mempertimbangkan untuk meembuang pemain itu.

Keputusan itu diambil selepas kelab kasta tertinggi Liga Thai itu dibanjiri kritikan kerana bersikap terlalu lembut terhadap Worawut Sukhuna.

Pemain muda itu memandu dalam keadaan merbahaya di bawah pengaru alkohol.

Chonburi FC pada mulanya hanya memberi penggantungan sementara buat pemain itu kerana mengambil kira pemain itu adalah bakat besar dalam bola sepak Thailand.

Mereka akhirnya mengubah keputusan tersebut selepas terus dihujani kritikan demi kritikan.

Penamatan kontrak pemain itu berlaku sejurus selepas pengurus Chonburi FC Sasit Singtothong memutuskan untuk meletakkan jawatannya sebagai satu bentuk tanggungjawab moral.

“Secara peribadi, sebagai pengurus pasukan, saya bertanggungjawab atas kejadian itu dan oleh itu menyerahkan peletakan jawatan saya,” kata Sasit Singtothong.

“Untuk perkara lain yang lebih terperinci, kita akan laporkan kemudian,” katanya.

Worawut Sukhuna sebenarnya sedang meningkat naik bersama Chonburi FC dalam saingan Liga Thai atau Liga Thai 1 musim ini.

Dia sedang berada dalam landasan terbaik untuk merampas kedudukan sebagai penjaga gol no.1 kelab.

Kejadian itu benar benar mengecewakan kelab dan penyokong. Dia terus membuat kenyataan rasmi memohon maaf di atas kesilapannya dan berjanji tidak akan memandu dalam keadaan mabuk lagi selepas ini.

Sukhuna menjadi pilihan utama dalam enam perlawanan terakhir Chonburi yang kini berada di tempat ketiga dalam kedudukan liga dan hanya dua mata di belakang Buriram United di tangga teratas.