Parah! Ligue 1 Masih Belum Dapat Penyiar Rasmi Musim Baru

Ligue 1 kini dalam masalah besar. Ini apabila mereka masih gagal untuk menarik sebarang syarikat penyiar rasmi untuk liga itu bagi kempen musim baharu – menurut laporan RMC.

Perkara ini semakin meruncing dan dirasai oleh pasukan pasukan di Ligue 1 yang masih tidak jelas tentang pendapatan mereka dari penyiaran.

Kesan lebih teruk dirasai oleh pasukan yang baru naik promosi ke Ligue 1 apabila mereka masih tidak dapat menandatangani pemain pemain baharu kerana tidak cukup duit.

Mereka tidak dapat meyakinkan kelab penjual bahawa mereka ada pendapatan daripada penyiaran yang menjadi sumber pendapatan utama di Perancis.

Persatuan Liga Profesional Perancis (LFP) kini sudah bersedia dengan plan B untuk melancarkan saluran penyiaran mereka sendiri untuk menayangkan Ligue 1 jika terus gagal menarik minat penyiar tempatan untuk menyiarkan liga mereka.

Langkah ini digelar DTC – direct to consumer. Di mana Ligue 1 sendiri yang akan menjual siaran bola sepak mereka kepada pelanggan yang berminat. Ianya memerlukan kos yang besar untuk Ligue 1 tanggung terutama sekali dari segi sistem.

Pelanggan akan dikenakan caj langgan mencecah RM125 sebulan untuk mengikuti siaran Ligue 1 di Perancis yang dibeli terus daripada saluran LFP.

LFP sebelum ini telah memansuhkan proses bidaan untuk hak penyiaran. Sebaliknya sedia berunding secara terus dengan pihak yang mahu menjadi peyiar rasmi Ligue 1 sebagai langkah untuk memudahkan lagi proses pemeteraian perjanjian.

Semuanya kerapa LFP semakin kesuntukan masa dan tidak ada penyiar yang benar benar serius mahu menjadi penaja rasmi.

DAZN sebelum ini dilaporkan menjadi penyiar yang berada di kedudukan hadapan untuk menjadi penyiar rasmi liga itu dengan pelancaran perkhidmatan mereka di Perancis. Namun tidak ada apa yang dimeterai setakat ini.

Sebelum ini LFP mensasarkan keuntungan €1 billion daripada penjualan Ligue 1 kepada penyiaran domestik dan antarabangsa. Dan Tidak ada sebarang tawaran yang hampir dengan sasaran itu.

Harga yang diletakkan LFP dianggap tidak munasabah untuk Ligue 1. Jadi tidak ada satu pun syarikat penyiaran di Perancis yang mahu membayar wang sebanyak itu untuk menyiarkan liga yang seringkali digelar liga pertanian itu.

Banyak faktor yang diambil kira. Ini termasuk populariti Ligue 1 yang semakin suram. Ditambah dengan pemergian bintang bintang seperti Neymar, Messi dan terbaru Mbappe ke liga lain.

Selain itu, Ligue 1 juga dianggap liga yang kurang menarik perhatian penonton global kerana dominasi PSG yang dianggap ‘dah tahu siapa juara’ pada setiap musim.