Di Sebalik Parti Tupperware: Kisah Kejayaan Gemilang Dan Cemburu

Mesti korang pernah dengar ayat di atas bukan. Dan ada yang cakap parti tupperware ni pesta tapau makanan. Ye la, tupperware dan tapau ni sangat sinonim dengan kita semua, terutama sekali emak dan bini korang.

Dan mesti kau tanya apasal title artikel macam cerita pukul 7 pulak, ni cerita parti tupperware je kot.

Sejarah tupperware

Ok, macam ni. Tupperware ni antara produk yang sangat popular dalam peradaban manusia. Sampaikan mana-mana produk airtight container pun emak kita panggil tupperware.

Jadi, sejak dari kecil, asal sahaja bekas tempat plastik yang bertutup, terus kita panggil tupperware.

Tupperware ini diasaskan oleh Earl Silas Tupper pada 1939. Dia mencipta satu produk untuk menyimpan makanan bagi kegunaan rumah.

Beliau mendapat idea itu daripada penutup tin cat yang sangat ketat dan membuatkan cat di dalamnya tidak kering.

Dulu mana ada peti ais digunakan meluas. Pada masa beliau cipta produk ini, plastik tak digunakan dengan meluas. Dan idea dia ni dianggap luar biasa ketika itu.

Pada awal dia buat bekas plastik ni, bau plastiknya sangat kuat. Namun lama-kelamaan dia makin pakar menghasilkan produk yang lebih baik.

Ke Pasaran

Lalu pada 1946 dia memperkenalkan tupperware ke pasaran untuk dijual. Tupperware mendapat sambutan luar biasa kerana ianya mudah guna, mudah dibawa dan cirinya yang airtight.

Sebelum ini orang simpan makanan dalam bekas diperbuat daripada kayu, besi ataupun kaca.

Kehadiran tupperware ni membuatkan ramai orang suka terutama sekali suri rumah. Sebab dibandingkan dengan bekas sebelum ini plastik ni ringan dan mudah dibawa, serta tak fragile.

Tupperware kemudian mempatenkan teknologi burp seal milik mereka.

Brownie Wise: Si Wanita Parti Tupperware

Ini adalah nama orang yang memberikan lebih banyak kejayaan kepada Tupperware.

Perempuan bernama Brownie Wise merupakan seorang ibu yang terlibat dalam dunia direct selling.

Beliau ada skil komunikasi dan skil jualan yang luar biasa. Beliau juga merupakan top seller di syarikat Stanley Home Products. Mereka menjual perkakas mencuci untuk kegunaan rumah.

Beliau kemudian telah menambah produk tupperware dalam senarai barang untuk dijual.

Brownie banyak membantu suri rumah memahami apa kegunaan sebenar tupperware termasuk burp seal itu tadi.

Brownie Wise menjadi penjual tupperware yang paling berjaya ketika itu dan menjual lebih banyak daripada beberapa pasaraya di sekitarnya. Dahsyat tak?

Bermulanya Parti Tupperware

Brownie kemudian datang dengan idea parti Tupperware pada 1948. Ianya mendapat sambutan luar biasa.

Korang bayangkan pada ketika itu, Brownie seperti Steve Job dalam pelancaran Iphone. Mengarahkan orang berkumpul, dan beliau memberikan demonstrasi bagaimana teknologi itu berfungsi.

Earl Tupper cuba meniru parti Tupperware oleh Brownie Wise ini. Namun tidak berjaya. Mungkin tidak kena pada orangnya. Dan tidak semua orang boleh melakukannya.

Earl Tupper kagum dengan kejayaan Brownie Wise ini dan melantiknya menjadi timbalan Presiden dalam syarikat mereka.

Selepas itu, Tupperware menarik kesemua produknya daripada pasaraya dan kedai runcit.

Ianya kemudian menjadi produk eksklusif yang hanya dijual secara home demonstration – menerusi Parti Tupperware.

Wise terus membantu Tupperware berkembang

Mereka mewujudkan jabatan Home Parties yang diketuai oleh Brownie Wise.

Dengan Brownie Wise memang pakar dalam menjual produk secara jualan rumah ini, Tupperware berjaya menaikkan hasil jualan mereka berlipat kali ganda.

Mereka melantik wanita-wanita untuk dilatih melakukan jualan yang digelar Parti Tupperware ini.

Di mana, mereka buat satu parti santai sambil jual produk.

Macam saya cakap dekat atas tadi, lebih kurang macam korang tunggu Apple ataupun syarikat telefon pintar hari ini yang buat pelancaran produk.

Anda dengar, anda faham, anda rasa kagum dan  dan anda pun beli. Tetapi ia dilakukan di rumah-rumah, bukannya di dewan besar.

Namun begitu, Tupperware adalah  eksklusif, di mana orang yang mahu mendapatkannya cuma boleh beli dekat parti tupperware sahaja. Tak dijual di kedai.

Penjual-penjual ini ada dress code yang ditetapkan, dan harus sentiasa berpersonaliti menarik. Menarik bukan bermaksud kena cantik tetapi personaliti yang disenangi dan tak serabai, ramah dan sangat membantu.

Mereka juga menjalankan carrot calling di mana mereka meminta suri rumah untuk menjalankan eksperimen di mana, lobak merah disimpan dalam tupperware dan bekas lain. Kemudian lihat perbezaannya dalam beberapa hari.

Tempat carrot calling ini yang biasanya menjadi tempat buat tupperware party.

Satu parti tupperware menjana pulangan sekitar $400. Angka yang sangat besar pada ketika itu.

Brownie Wise kemudiannya merasakan beliau perlu memberikan penghargaan kepada pasukan jualan beliau.

Satu acara khas dianjurkan. Dan acara itu biasanya dianjurkan dalam masa 4 hari di mana masuk sekali sesi motivasi kepada semua yang terlibat.

Brownie Wise menghadiahkan penjual-penjual yang cemerlang ini dengan hadiah.

Brownie Wise dikenali dengan kecenderungannya memberikan hadiah misteri, daripada hadiah mahal, trofi, makan malam gala, sehinggalalah ke hadiah bola golf.

Tupper Dan Wise Gandingan Ideal

Mereka boleh dikatakan gandingan ideal sebagai bos dan juga pekerja. Earl Tupper mendapat pekerja terbaik dalam sejarah perniagaannya.

Dan Brownie Wise mendapat majikan terbaik untuk kepakaran yang beliau ada. Brownie Wise seorang yang sangat selesa berinteraksi dengan orang lain.

Earl Tupper seorang bos yang tak sukakan perhatian. Sebab itulah beliau gagal dalam parti tupperware yang beliau cuba buat.

Earl Tupper akui tanpa Brownie Wise, Tupperware tak akan mencapai kejayaan seperti mereka nikmati ketika itu.

Dalam erti kata lain, Earl Tupper ada produk tetapi Brownie Wise pula ada cara untuk memasarkannya. Bila bergabung tu yang jadi meletup tu.

Brownie ni seorang yang crowd winner, seorang yang sukakan perhatian dan yakin berada di khalayak.

Brownie Wise ni kalau dia jual susu pada lembu, pun lembu akan beli. Wise menjadi wanita pertama muncul dalam muka depan Business Week pada 1954.

Wise mulai menjadi selebriti. Dan nama Wise mulai mengatasi populariti Earl Tupper.

Brownie Wise Dipecat

Namun berlaku rasa insecurity pada diri Earl Tupper kepada Brownie Wise. Dan Earl Tupper mengambil langkah yang tidak disangka-sangka, iaitu memecat timbalan presiden itu pada 1958.

Earl Tupper merasakan orang luar lebih menganggap Tupperware sebagai jenama milik Brownie Wise, bukannya beliau.

Earl Tupper menjadikan alasan, acara gala dan malam penghargaan anjuran syarikat sebagai satu kerugian kepada syarikat dan ianya idea buruk.

Ianya sangat mengejutkan kerana Tupperware baru memecat orang terbaik dalam sejarah syarikat mereka. Brownie hanya diberikan pampasan gaji setahun sahaja sekitar $30,000.

Brownie tidak ada pegangan saham dalam syarikat.

Earl Tupper juga, kemudiannya, gelap mata dengan tawaran daripada beberapa syarikat yang mahu membeli Tupperware.

Earl Tupper kemudian menjual Tupperware kepada Rexall Drug Company dengan nilai $16 juta.

Earl Tupper mencuba bidang perniagaan yang lain dalam beberapa tahun selepas itu namun kesemuanya tak berjaya dan gagal. Earl Tupper meninggal dunia pada 1992.

Brownie Wise, pula, selepas beliau dipecat, beliau cuba membuat parti jualan produk kosmetik beliau iaitu Cinderella.

Beliau menggunakan konsep ala parti Tupperware tetapi tidak begitu berjaya, kerana orang sudah menganggap parti sebegitu hanya sesuai untuk Tupperware.

Jelaslah bahawa Earl Tupper dan Brownie Wise saling memerlukan antara satu sama lain. Nama mereka berdua sepatutnya ada legasi yang lebih kukuh bersama Tupperware yang terus kukuh sehingga ke hari ini.

Tupperware pula terus berjaya dan menjadi lebih besar sebagai satu jenama global. Mereka menghasilkan lebih banyak produk selepas itu dan membuka cawangan di seluruh dunia.

Pada 2016, BBC melaporkan jualan Tupperware mencecah $2.2bn (£1.8bn) di seluruh dunia.

Rujukan:

Tupperware – Wikipedia

BBC

Independent

Baca yang lain