Persatuan Bulutangkis seluruh Indonesia (PBSI) tidak menerima kritikan ke atas petugas medikal mereka dalam insiden melibatkan kematian pemain remaja China, Zhang Zhijie.
Sebelum ini ramai yang mengkritik petugas medikal bertindak lambat dan hanya membiarkan sahaja pemain yang sedang mengalami serangan jantung di atas gelanggang.
Peminat turut membandingkan insiden itu dengan beberapa insiden melibatkan atlet termasuk pemain bola sepak seperti Christian Eriksen. Di mana petugas perubatan dan pemain lain cepat bertindak kerana adanya kesedaran dan pendidikan tentang bantuan kecemasan.
Dalam video yang tular di media sosial, pemain China itu rebah. Dan tidak terus mendapat bantuan daripada petugas medikal sama ada daripada PBSI ataupun kem China.
Jurucakap PBSI, Broto Happy mempertahankan tindakan petugas medikal yang menurutnya bertindak mengikut SOP dan segera membawa pemain itu ke hospital dengan ambulans.
Seterusnya Broto Happy menyalahkan pegawai perlawanan yang lambat memberikan kebenaran kepada petugas medikal untuk memberikan rawatan.
Broto Happy berkata: “Laporan menyebut bahawa pemain itu mengalami serangan jantung.”
Seterusnya menurut laman Xinhua, PBSI memaklumkan bahawa petugas medikal lambat memberikan bantuan kerana menunggu isyarat daripada pengadil.
Petugas medikal dan doktor memang sudah ada ditempatkan di dalam venue pertandingan. Dan bersedia pada bila bila masa untuk masuk ke gelanggang apabila diperlukan. Tetapi isu di sini, ianya perlu mendapat kebenaran daripada pengadil atau pegawai perlawanan.
Menurut garis panduan Kesatuan Olimpik Dunia, setiap penganjur acara sukan harus menyediakan kelengkapan bantuan kecemasan, serta kemudahan bantuan kecemasan yang lain.
Penganjur perlu menyediakan garis panduan untuk bantuan kecemasan ini termasuk protokol evakuasi atlet yang sakit teruk atau cedera.
Peraturan BWF pula menyatakan bahawa pegawai perlawanan atau pengadil adalah orang yang berkuasa dalam memberikan arahan atau kebenaran kepada petugas medikal untuk masuk ke gelanggang bagi membantu atlet yang mengalami kecederaan atau sakit.
Pegawai perlawanan bertindak atas budi bicara dengan menilai tahap kecederaan atau kesakitan seseorang pemain.
Menurut laporan, selepas kejadian yang berlaku kepada Zhang Zhijie, PBSI meminta BWF memansuhkan protokol perubatan ini. Di mana PBSI mahu petugas medikal atau doktor boleh terus masuk ke gelanggang tanpa memerlukan izin atau kebenaran pengadil.
Ini kerana dalam sukan lain, perkara seperti ini sudah biasa berlaku. Kerana keutamaan adalah kepada nyawa dan keselamatan pemain.