PDRM Jelaskan Larangan Powerbank Masuk Stadium Kerana Ia Keras Dan Boleh Mencederakan

Beberapa minggu lalu, Polis sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan mengambil tindakan tegas berkaitan dengan aspek keselamatan ketika final Piala FA 2022 antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 September.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Zam Halim Jamaluddin mengingatkan semua penyokong bahawa penyokong yang buat hal boleh berdepan dengan hukuman di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 147 atau 160 yang membawa kepada hukuman penjara.

Lantas Zam Halim memberikan amaran kepada mana mana individu yang suka menimbulkan kekacauan dan provokasi termasuk mencetuskan pergaduhan sebelum, semasa atau selepas perlawanan.

Dipetik dari Malaysia Gazette, Halim Zam berkata: “Bagi penyokong-penyokong Terengganu FC dan JDT,berkaitan dengan unsur-unsur ‘gangsterisme’, ‘hooliganism’ memang dititikberatkan dalam mesyuarat keselamatan antara PDRM dan FAM serta MFL.

“Buat makluman, dalam PDRM sendiri kami ada bahagian D7 yang berkaitan pencegahan kongsi gelap, maksiat dan sebagainya, kita sentiasa cakna akan kehadiran kumpulan-kumpulan sebegini yang berpotensi untuk timbulkan kacau ganggu pada malam tersebut.

“Saya ingin berikan amaran kepada penonton-penonton yang datang supaya niat kita ikhlas untuk berikan sokongan kepada pasukan masing-masing dan tidak berniat timbulkan apa-apa perkara yang tidak diingini seperti rusuhan dan sebagainya.

“Kita akan juga mengadakan tindakan tegas dan untuk makluman, kesalahan-kesalahan ini akan didakwa di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 147 atau Seksyen 160 dan boleh dihukum penjara.”

Seterusnya ada beberapa barang larangan yang akan dirampas oleh polis an petugas keselamatan.

Beliau menambah: “Antara barangan yang dilarang bawa masuk ialah seperti payung, ‘powerbank’, pemetik api, senjata-senjata tajam dan sebagainya.”

“Pihak polis akan mengerahkan 1500 anggota serta pegawai polis untuk bertugas selain bantuan dari DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan Rela,” katanya lagi.

Alasan larangan powerbank

Dalam sidang media sebelum perlawanan, Halim Zam kemudian ditanya oleh wartawan tentang pengharaman Powerbank. Beliau menjawab:

“Ok, untuk makluman tuan ye, powerbank ni satu objek yang keras. Apabila dibaling ianya boleh menimbulkan kecederaan.”

“Objek itu keras. Dan saya menasihati kepada tuan tuan yang ingin datang, menonton perlawanan bola sepak, pastikan telefon bimbit dicaj penuh.”

“Jadi, kita tak perlu untuk membawa powerbank tuan tuan.”

“Dan kita juga takut kalau ada insiden insiden yang – kita tak pasti – mungkin ada insiden insiden lain yang boleh terjadi diakibatkan oleh powerbank ini.”

“Mungkin ianya akan dijadikan sebagai satu objek untuk membaling penyokong lawan.”

Semoga penyokong JDT dan Terengganu sedia maklum dengan perkara ini. Agar anda tidak dirampas powerbank.

Baca yang lain