Aksi antara Brazil dan Argentina terpaksa ditangguhkan, dan CONMEBOL mengesahkan bahawa perlawanan tersebut akan disambung semula kelak.
Ianya selepas 4 pemain Argentina yang berpangkalan di England telah melanggar protokol kesihatan.
Pegawai kesihatan Brazil (Anvisa) dan polis tempatan masuk ke dalam padang ketika aksi sedang berlangsung 4 minit.
Anvisa mendapati ada 4 pemain Argentina menipu berkaitan prosedur kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan Brazil. 4 pemain tersebut adalah pemain yang beraksi di EPL iaitu Emiliano Martinez, Emiliano Buendia, Giovani Lo Celso dan Cristian Romero.
Pasukan Argentina diarahkan masuk ke bilik persalinan, sementara pemain pemain Brazil menunggu dengan sabar di dalam padang. Menanti sama ada perlawanan itu akan diteruskan atau tidak.
Akhirnya, perlawanan itu sah tidak dapat diteruskan!
FA Argentina menyatakan bahawa mereka sudah mengikuti kesemua SOP ditetapkan oleh FIFA. Namun sebenarnya, FIFA sendiri menyatakan, FIFA tidak ada kuasa dalam isu kesihatan dan protokol keselamatan sesebuah negara.
Pegawai FA Argentina buat apa?
Danilo Lavieri menyatakan bahawa pegawai pegawai FA Argentina (AFA) sebenarnya tidak cukup cakna hal peraturan di Brazil. Di mana sebenarnya mereka boleh mendapat pengecualian khas daripada kerajaan Brazil menerusi ordinan khas.
Sebenarnya, pada musim wabak ini, setiap negara ada peraturan khas berkenaan dengan kemasukan pelawat. Jadi pihak FA Argentina seharusnya bertindak dengan cekap dan selayaknya, sebagai seorang pegawai yang bijak. Bukan sahaja Brazil yang ada peraturan ketat ini, ada banyak lagi negara lain yang ada prosedur mereka tersendiri.
Untuk aksi kelayakan Piala Dunia, ianya termaktub dalam acara sukan antrabangsa yang boleh mendapat pengecualian khas kerajaan Brazil.
Ordinan ini pernah digunakan oleh beberapa atlet lain yang masuk ke Brazil dari England untuk mengelak kuarantin wajib 14 hari.
Malah CBF sendiri menggunakan ordinan yang sama untuk membawa masuk beberapa pemain mereka yang berpangkalan di England.
Roberto Firmino, Richarlison, Gabriel Jesus, Ederson, Alisson antara pemain yang sebelum ini pernah menggunakan ordinan tersebut untuk masuk ke Brazil dari England.
Dan mereka tidak wajib kuarantin dengan alasan mereka berada dalam gelembung sukan di England.
Jadi, Danilo mempersoalkan kenapa pegawai pegawai FA Argentina tidak menyemak terlebih dahulu peraturan tersebut?
Kerajaan Brazil akan berkomunikasi dengan pegawai dari negara yang terbabit untuk mendapatkan laporan tentang gelembung sukan di negara mereka untuk memastikan bahawa gelembung itu tidak ‘pecah’ ataupun dimasuki oleh wabak pada keadaan semasa.
Selepas itu, barulah surat pelepasan khas diberikan. Para pemain yang berada di bawah ordinan ini akan dikenakan saringan kesihatan setiap 48 jam.
Brazil mengenakan syarat ketat kepada semua pelawat, termasuk atlet yang masuk ke dalam negara mereka melalui pintu England, Ireland Utara, Indian ataupun Afrika Selatan. Ini kerana mereka mahu mengekang varian baru wabak tersebut. Brazil sedang bergelut untuk berdepan dengan pandemik semasa ini. Jadi kemasukan varian baru akan menyukarkan lagi mereka.
Kesalahannya di sini terletak pada pegawai FA Argentina sendiri. Sebenarnya 4 pemain EPL itu tak perlu menipu pun untuk memasuki Brazil.
Mereka selama ini berada dalam gelembung sukan England. Itu sebenarnya sudah cukup untuk membolehkan mereka layak berada dalam ordinan khas.
Oleh kerana ketidakcaknaan pegawai FA Argentina, maka aksi Superclasico antarabangsa kali ini terpaksa ditunda.
Rujukan: OUL