Pelukis Artortoise Pergi Buat Selamanya

Berita sedih pada hari ini, di mana Pelukis laman popular di Facebook – Artortoise – iaitu Mohamad Ikhsan bin Kamarudin telah meninggal dunia pada 1 Disember, pukul 1.37 pagi tadi.

Artortoise menerusi Facebooknya mengumumkan berita sedih itu kepada semua.

“Assalamualaikum WBT…
Dukacita dimaklumkan bahawa saudara Mohamad Ikhsan bin Kamarudin ( @ikhsanise Artortoise ) telah kembali ke rahmatullah pada jam 1.37 pagi 1 Disember 2020.
Sehubungan itu kami bagi pihak Artortoise ingin memohon ampun dan maaf kepada sesiapa yang mengenali beliau sekiranya Allahyarham ada terbuat salah silap atau ada karya² beliau yang menyinggung sesiapa sama ada secara sengaja dan tidak sengaja.
Kami juga memohon doa dari semua supaya dipermudahkan urusan perjalanan Allahyarham ke alam sana. InshaAllah jenazah akan dikebumikan di Bandar Seri Putra, Kajang pagi ini.
Terima kasih kerana sentiasa menyokong Artortoise selama ini. InshaAllah Artortoise akan kembali semula suatu hari nanti.”

https://www.facebook.com/Artortoise/posts/3372211149522019

Menurut catatan oleh pentadbir page Artortoise, arwah sebelum ini menerima rawatan Hepatitis B di Hospital Selayang.

Dalam catatan pada 2 November lalu, Artortoise menyatakan:

Hari ini, 2 November 2020 merupakan hari kelahiran @ikhsanise Artortoise. Untuk makluman, beliau masih lagi menerima rawatan Hepatitis B atau hati di Hospital Selayang dan sehingga kini keadaan kesihatan hati beliau masih tiada perkembangan yang baik.
Bersempena dengan itu, kami mewakili Artortoise sekali lagi memohon pertolongan dari kalian semua untuk mendoakan kesembuhan kepada insan bernama Mohamad Ikhsan bin Kamarudin ini. Besar harapan kami untuk melihat beliau kembali sihat dan berkarya.
Kami yakin adanya hikmah disebalik segala ujian yang diberikan Allah kepada beliau dan Artortoise sendiri. Semoga dengan doa² kalian, beliau kembali bersama kita semua kelak. Aamiin…InshaAllah. Terima kasih – Admin

Artortoise dikenali dengan seni lukisannya yang santai dan bermanfaat. Bagi peminat bola sepak, Artortoise sangat popular kerana seringkali memuat naik kartun yang meraikan semangat muhibbah di kalangan penyokong.

Arwah sangat disayangi rakan dan juga peminatnya di alam maya. Tidak putus putus doa dipanjatkan kepadanya, sama ada ketika beliau bertarung dengan penyakitnya dan juga selepas meninggal dunia.

Ianya satu kehilangan yang sangat dirasai kita semua. Semoga tenang di sana wahai sahabat.

Terima kasih di atas semua karya yang telah menjadi tatapan dan memberikan senyuman kepada kami selama ini.

Baca yang lain