Pemain Remaja Tinggalkan Kem Perancis Kerana Kecewa Peraturan Larangan Berpuasa Oleh FFF

Pemain tengah Mahamadou Diawara terpaksa meninggalkan kem pasukan B-19 Perancis setelah dia berkeras untuk berpuasa.

Pemain itu sebenarnya tidak tahu bahawa FA Perancis atau FFF melarang pemain yang hadir ke latihan kali ini berpuasa.

Menurut ESPN, FFF sudah mengeluarkan garis panduan dan peraturan baharu tentang larangan berpuasa itu. Dengan alasan pemain perlu mengikuti aktiviti fizikal yang sangat lasak dan kemudian makan makanan yang disediakan mengikut jadual.

Diawara tidak selesa dengan peraturan itu. Sebenarnya sebelum ini peraturan itu hanya diamalkan di peringkat B-16 sahaja. Untuk pasukan B-19 dan ke atas termasuk pasukan senior pemain dibenarkan berpuasa dengan syarat mereka harus berkomunikasi dengan jurulatih kecergasan dan pakar nutrisi.

Sebelum ini pemain akan mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar tentang situasi fizikal mereka. Ada pemain dinasihati tidak berpuasa kerana boleh memudaratkan. Namun ramai pemain yang boleh berpuasa kerana kondisi fizikal mereka terbaik.

Namun sekarang FFF melarang semua pemain beragama Islam daripada berpuasa di semua peringkat.

Diawara akhirnya kembali semula ke kelabnya dan FFF memanggil pemain Nantes Dehmaine Tabibou Assoumani sebagai penggantinya.

Presiden FFF, Philippe Diallo dalam sesi wawancara dengan media Le Fiagro sebelum ini menyatakan bahawa FFF mengenakan larangan itu dengan alasan bahawa pemain tidak boleh mencampur adukkan urusan agama dengan bola sepak.

Prinsip yang sama dikenakan oleh FFF ke atas Ligue 1 sebelum ini. Di mana pengadil tidak dibenarkan menghentikan perlawanan seketika hanya untuk memberikan laluan kepada pemain beragama Islam berbuka puasa secara ringkas di padang.

Difahamkan semua ketua jurulatih di kesemua peringkat umur bermula dari peringkat B-16 sehingga ke peringkat senior sudah memaklumkan kepada pemain tentang perkara itu.

Pegawai FFF menyatakan bahawa ada segelintir pemain yang tidak gembira dengan keputusan tersebut. Sumber itu memberitahu ESPN: “Pemain pemain ini merasakan bahawa mereka dan agama mereka tidak dihormati.

“Ada pemain yang berdiam sahaja, namu Mahamadou pula menunjukkan ketidakpuasan hatinya dan angkat kaki terus.”

Zach Lowy melaporkan pemain yang ada dua kerakyatan seperti Amine Gouiri menolak untuk mewakili Perancis selepas mendapat tahu tentang peraturan baharu ini.

Baca yang lain

Bernardo Silva Singkir Chelsea

Chelsea disingkirkan oleh Manchester City daripada separuh akhir Piala FA 2023/24. Jaringan tunggal oleh Bernardo Silva minit ke-84, membuatkan Chelsea gigit jari