Pemain Yang Sedang Dipancing Man United, De Ligt Disiasat Polis Pula

Ketika Man United dan Bayern Munich sedang mencari kesepakatan harga untuk Matthijs De Ligt, pemain itu pula dikatakan dalam siasatan polis atas kes langgar lari.

De Ligt menjadi sasaran Man United pada jendela perpindahan kali ini. Namun United awalnya tidak begitu terdesak mahukan pemain itu jika Bayern berkeras meminta harga terlalu tinggi.

United awalnya mencadangkan harga De Ligt sekitar £30 juta. Namun kelab Bayern meminta sekitar £50 juta untuk pemain Belanda itu.

Ia telah membuatkan United memperlahankan rundingan mendapatkan De Light. Walaupun Ten Hag sendiri akui dia masih berminat mahukan pemain itu. Laporan Fabrizio Romano juga menyebut, De Ligt dan United sudah mencapai kesepakatan terma peribadi.

Pemain itu malah menjadikan United sebagai pilihan utamanya ketika ini, kerana Erik Ten Hag. Dia meminta ejennya mengabaikan tawaran daripada kelab lain dan fokus kepada perpindahan ke United.

Tetapi rundingan menjadi sukar kerana Bayern tidak mahu melepaskan pemain itu dengan harga yang rendah. United pula menegaskan bahawa mereka tidak terlalu terdesak mahukan De Ligt.

Hal ini kerana United sudah mendapat Leny Yoro dari Lille dengan perpindahan bernilai £58 juta. Tetapi kecederaan Yoro membuatkan De Ligt menjadi sasaran utama Erik Ten Hag di Man United pada masa ini.

Kelab England itu sudah menghantar bidaan rasmi untuk mendapatkan De Ligt dan Noussair Mazraoui dari Bayern. Namun tawaran United ditolak kerana terlalu kecil.

De Ligt terlepas sebahagian musim lalu kerana kecederaan, tetapi cergas sepenuhnya pada Euro 2024 dan baru-baru ini kembali ke Bayern untuk menyertai peringkat akhir pramusim.

Tetapi media Jerman BILD melaporkan bahawa polis Bavaria sedang menyiasat pemain antarabangsa Belanda itu atas dakwaan terlibat insiden ‘langgar lari’.

Didakwa De Ligt ‘merempuh kereta yang diletakkan’ berhampiran tempat latihan kelab pada pagi Rabu, sebelum kemudian beredar dengan keretanya begitu sahaja.

Laporan itu mendakwa bahawa saksi menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu, dan kereta De Ligt kemudiannya ditarik dan ditahan di balai.

Seorang peguam pakar, yang berpangkalan di Munich, memberitahu BILD bahawa hukuman maksimum bagi keputusan langgar lari yang bersalah adalah penjara sehingga tiga tahun penjara, tetapi menambah: “Biasanya denda seringkali dikenakan apabila orang disabitkan dengan jenayah sedemikian.”

Dalam kes apa-apa keputusan langgar lari, ia juga perlu dibuktikan bahawa tertuduh melakukan langgar lari secara ‘sengaja’. Laporan itu menambah bahawa polis sedang meneliti kerosakan dan enggan mengulas kerana ‘sebab perlindungan data’.

Berita terbaru ini pastinya dikhuatiri oleh peminat United akan mengganggu proses rundingan untuk mendapatkan pemain tersebut.

Tetapi ramai juga yang percaya kes langgar lari seperti ini bukanlah terlalu serius sehingga melibatkan nyawa. Cuma mereka berharap De Ligt bertindak lebih baik dalam keadaan tersebut, jika benar dia sengaja melarikan diri dengan keretanya setelah merempuh kereta orang lain.

Namun ada juga yang berseloroh bahawa De Ligt nampaknya sedang cuba melakukan apa sahaja untuk menyertai United dan meninggalkan Bayern Munich.

Komen ini jelas merujuk kepada De Ligt yang sebelum ini sudah menyatakan pendiriannya yang terdesak mahu ke Manchester United serta merta pada perpindahan kali ini.

Ten Hag pernah menjelaskan bahawa dia tidak pernah meminta kelab menbeli De Ligt, namun pemain itu berada dalam data ‘scout’ Man United yang kini diketuai INEOS. Ten Hag akui kagum dengan data tersebut kerana, pegawai scouting menegaskan bahawa De Ligt adalah pemain sesuai taktikal Ten Hag.

Kedua duanya pernah bekerjasama ketika di Ajax sebelum ini.

De Ligt sendiri pernah menjadi sasaran Man United beberapa kali sebelum ini namun pemain itu memilih menyertai Juventus dan kemudian Bayern. Beberapa tahun lalu, United terpaksa melupakan De Ligt kerana bekas ejennya, mendiang Mino Raiola mahu memasukkan klausa pelepasan yang dilabel oleh Ole Gunnar Solskjaer sebagai ‘terlalu mampu milik;. Ole menambah: “Kenapa harus membincangkan soal klausa keluar jika kamu mahu menyertai kelab ini.”