Dengan perpindahan Gigio Donnarumma ke PSG secara percuma, pemenang sebenar dalam rundingan ini pastinya Mino Raiola.
Pengurus legenda AC Milan, Arrigo Sacchi menyatakan dia sangat sedih dengan berita itu.
“Saya tak boleh menyembunyikan kesedihan saya. Jika dia [Donnarumma] gembira di Milan, kelab yang membagunkannya dan menghargainya, maka dia harus kekal di sini.”
“Dalam hidup, penting untuk menunjukkan rasa terima kasih kepada mereka yang memberi anda peluang penting dan ini adalah kesempatan untuk menunjukkannya.”
“Kelab [Milan] juga menawarkan kontrak yang besar kepadanya. Oleh itu, saya bertanya pada diri sendiri: mengapa dia pergi? Mengapa mendesak keadaan?”
Bukan Sacchi seorang sahaja, malah semua peminat Milan kecewa apabila Donnarumma tidak lagi berseragam Milan musim depan.
Mujur dia ke PSG. Kalau ke Juventus, kesedihan itu akan bercampur dengan kemarahan.
Donnarumma telah menjadi starter regular Milan sejak debutnya, ketika itu dia baru berusia 16 tahun. Zizang Itali itu telah membuat lebih dari 250 penampilan sejak itu.
Persembahan mengagumkan musim lalu membantu Milan menduduki tempat kedua dalam Serie A, membuatkan kembali ke Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kalinya sejak 2013-14.
Pemain muda itu juga memperoleh penghargaan Penjaga Gol Terbaik liga atas prestasi dan usaha kerasnya.
Super Gigio berkesempatan menjadi legenda di kelab untuk sebaris dengan nama seperti Franco Baresi dan Paulo Maldini tetapi sebaliknya, dia akan meninggalkan kelab itu dengan segera setelah gagal mencapai kesepakatan mengenai lanjutan kontrak.
PSG bersedia menandatanganinya dan pemain berusia 22 tahun dijangka akan diumumkan secara rasmi selepas Euro 2020.
Laporan menunjukkan bahawa kelab Paris itu menyamai permintaan Raiola dengan kontrak €12 juta setahun untuk Donnarumma.
Sesuatu yang tidak sanggup atau tak mampu dilakukan oleh Milan. Rossoneri telah menawarkan Gigio kenaikan gaji €2 juta, dari kontrak €6 juta setahun, kontrak bernilai €8 juta setiap musim.
Sebenarnya Raiola pada awalnya meminta €8.5 juta. Milan menawarkan €8 juta dengan harapan rundingan itu dapat dimuktamadkan. Tetapi Raiola mengejutkan Milan dengan meminta €12 juta selepas itu.
Raiola dapat RM 100 juta
PSG jelas telah memainkan peranan mereka dalam menambah lagi gajinya dan Raiola dilaporkan mendapat komisen €20 juta ataupun sekitar RM100 juta. Angka yang hampir sama dia dapat ketika perpindahan Paul Pogba ke United, yang lebih sedikit daripada angka ini.
Pasti ramai yang akan menyalahkan penjaga gol itu kerana mencari kekayaan melebihi kesetiaan. Sementara ini bukan kali pertama Raiola berjaya menjanjikan tawaran terbaik untuk kliennya. Raiola beberapa kali memainkan sentimen wang bukan segalanya, yang penting kliennya gembira.
Kembali pada tahun 2017, Donnarumma dijangka meninggalkan perpindahan percuma ke Juventus setelah menolak cadangan lanjutan kontrak.
Sebulan kemudian Donnarumma menandatangani kontrak dengan cara kontroversi termasuk meminta Milan memberikan kontrak kepada abangnya.
Raiola juga meminta bayaran agensi sebagai balasan dia telah meyakinkan kliennya untuk terus kekal selain daripada gaji €6 juta semusim untuk pemain berusia 18 tahun itu.
Sementara Raiola memainkan peranan penting dalam memastikan Milan membayar abang Donnarumma iaitu Luca dengan kontrak €1 juta semusim.
Ramai pada masa itu agak kecewa kerana Milan membayar seorang remaja dalam jumlah yang besar apabila mengetahui pemain dan ejennya berhak untuk meminta kenaikan gaji dalam tiga tahun ketiga kontrak mereka.
Dengan situasi ekonomi semasa ketika itu Milan bergelut dengan kewangan mereka selepas konflik pada pemilikan China. Sehinggakan Milan digantung daripada UEL kerana isu FFP.
Dan kini, Milan terpaksa menelan hakikat mereka gagal mendapatkan sesen pun daripada perpindahan Donnarumma. Dan mereka hanya boleh berharap PSG menjual pemain itu di masa akan datang untuk menuntut sebahagian kecil wang pembangunan.
Kini di PSG, Raiola sudah mengingatkan kelab itu bahawa Donnarumma tidak mahu dipinjamkan ke kelab lain. Dia mahu mencabar tempat menjadi penjaga gol nombor 1 kelab. Walaupun PSG ada penjaga gol yang bagus, Keylor Navas.
Donnarumma juga meminta jersi 99 untuknya.
Navas mungkin akan terpaksa menerima dia akan terpaksa keluar sebagaimana dia di Real Madrid ketika kelab itu mendapatkan Courtois.
Gianluigi Donnarumma to Paris Saint-Germain, here we go soon! Verbal agreement confirmed, lawyers at work in the last hours to prepare the contracts. He’s set to sign until June 2026. 🇫🇷🧤 #PSG
PSG are already working to plan for medicals in Italy NT camp in the next days. https://t.co/YsStZFmkvv
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) June 11, 2021
Bekas kapten menjadi pengarah sukan, Paolo Maldini agak sedikit lebih diplomatik daripada Sacchi ketika dia memberikan komen tentang penghijrahan Donnarumma.
“Dia adalah protagonis, pemimpin dan kapten,” kata Maldini.
“Seorang profesional juga mesti bersedia menukar bajunya [kelabnya]. Semakin sukar untuk memulakan karier di satu tempat dan menyelesaikannya di sana,” tegas Maldini.
“Kami harus berterima kasih kepada mereka yang telah memberikan banyak berjasa klepada Milan dan Gigio melakukannya. Jalan kami terpisah di sini, dan saya hanya boleh mendoakan yang terbaik untuknya. ”
Milan sudah menandatangani pengganti penjaga gol no.1 Itali itu: penjaga gol Lille, Mike Maignan yang telah diumumkan oleh kelab itu setelah musim yang luar membantu Lille juara Ligue 1.
Walaupun bayaran perpindahan €13 juta euro, gajinya akan membolehkan Milan menjimatkan lebih daripada €35 juta daripada yang diminta Donnarumma sebanyak €60 juta untuk 5 musim.
Jadi Raiola pemenang sebenar dalam perpindahan ini. Sementara Milan kalah teruk. Kegagalan mereka membuat keputusan lebih awal menjual Donnarumma sebelum ini memakan diri kerana percaya pemain itu akan terus kekal seperti mana dicanang Raiola.
PSG mungkin menjadi pemenang kedua dengan kejayaan mendapatkan Donnarumma secara percuma. Tetapi tetap membayar yuran agensi yang tinggi.