Pemilik Ankaragucu Tuduh Pengadil Berlakon Sakit

Liga Turki minggu ini dihentikan seketika kerana polis telah menjalankan siasatan jenayah ke atas pemilik kelab Ankaragucu, Faruk Koca dan beberapa pemain, staf kejurulatihan dan beberapa individu lagi berhubung insiden panas di atas padang.

Aksi antara Ankaragücü dan Rizespor, yang berlangsung pada pusingan ke-15 Super Lig Turki, berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.

Pada minit ke-14, Ankaragücü berjaya membuka jaringan hasil jaringan Olimpiu Morutan. Pada minit ke-50, Ali Sowe menerima kad kuning kedua, mengurangkan jumlah pemain pasukan tuan rumah kepada sepuluh pemain.

Pada masa kecederaan, seorang pemain dari pasukan pelawat turut dibuang padang, tetapi ia tidak menghalang Rizespor daripada meraih keputusan seri. Adolfo Gaich telah menjaringkan gol sangat penting pada masa kecederaan minit ke-90+7.

Bagaimanapun, ‘acara utama’ berlangsung selepas perlawanan. Presiden yang juga pemilik Ankaragücü, Faruk Kodja, meluru ke padang dan menumbuk pengadil, Halil Umut Meler, di matanya.

Pengadil jatuh terbaring di atas padang rumput, dan kemudian seorang yang tidak dikenali telah menendangnya. Matanya dilihat lebam teruk selepas ditumbuk.

Menteri Kehakiman Turki, Yilmaz Tunc, bertindak balas terhadap insiden ini, menyatakan bahawa prosiding undang-undang jenayah telah dimulakan, dan insiden itu sedang dalam semakan.

“Selepas tamat perlawanan Ankaragücü – Rizespor, semakan yang diperlukan telah dimulakan berhubung pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan ke atas pengadil perlawanan, Halil Umut Meler.”

Kesemua suspek yang masuk ke padang selepas tamat perlawanan Liga Super dan terlibat dalam tindakan keganasan terhadap pengadil perlawanan, serta penyokong yang masuk ke padang selepas perlawanan, didakwa dengan jenayah berkaitan melanggar undang-undang.”

“Siasatan telah dimulakan, dan Pengurusan Sukan Jabatan Polis Wilayah di Ankara telah diberi arahan untuk mengenal pasti semua suspek dan menyerahkan mereka kepada pejabat ketua pendakwa raya.”

“Pejabat Ketua Pendakwa Raya Ankara Barat telah memfailkan kes bagi jenayah yang menyebabkan kemudaratan berkaitan dengan pelaksanaan tugas awam, dan arahan telah diberikan untuk mengenal pasti semua suspek dan membawa mereka ke dalam tahanan. Penahanan presiden kelab, Faruk Kodja, yang kini berada di hospital, telah diarahkan.”

“Siasatan sedang dijalankan dalam semua aspeknya, dengan pengecaman suspek lain. Tidak ada keraguan bahawa sistem kehakiman kita akan memutuskan sekatan yang diperlukan terhadap mereka yang melakukan salah laku yang kita tidak mahu lihat di negara kita,” – tulis menteri itu di akaun Twitternya.

Faruk Koca buat kenyataan

Faruk Koca kemudian membidas pengadil, Umut Meler yang menurutnya berlebih lebihan berlakon ketika menerima serangan fizikal daripadanya.

Koca yang terus dibawa ke hospital oleh pegawainya selepas insiden itu menyatakan dia terpaksa mendapatkan rawatan kerana ada masalah sakit jantung.

Namun dia terkejut apabila laporan menyebut pengadil cedera serius di muka kerana tumbukan dilepaskannya.

Dia berkata, dia bukan menumbuk tetapi cuma cuba menampar pengadil itu dan yakin tidak mampu membuatkan pengadil itu cedera sama sekali.

Faruk berkata: “Saya sebenarnya cuma mahu bertikam lidah dengan pengadil dan meludah mukanya. Dan tamparan yang saya lakukan tidak akan mencederakan dia. Selepas saya menamparnya, dia tiba tiba menggelupur menjatuhkan dirinya atas padang.”

“Saya dikeluarkan daripada tempat itu kerana saya ada masalah jantung.”

Walaupun Faruk menafikan dia menumbuk pengadil, namun beberapa imej yang dikongsi jelas menunjukkan dia menggenggam tangannya dan menumbuk Umut Meler.

Imej ini turut menunjukkan Umum Meller mengalami bengkak dan lebam di bahagian bawah mata kirinya. Betul betul tepat di bahagian yang ditumbuk oleh Faruk.

Kenyataan dia menafikan serangannya tidak cukup kuat untuk mencederakan pengadil membuatkan ramai mengecamnya. Mereka juga mengecam sikap tidak profesional Faruk yang tidak boleh menerima kekalahan.

Dia ibarat cuba menegakkan benang yang basah, jauh sekali mahu meminta maaf di atas tindakannya. Ada juga menyindir: “Pertama kali saya mendengar tamparan dengan tangan digenggam.”

Beberapa individu yang terlibat dalam dunia pengadilan menegaskan bahawa, pada hari ini tugas seorang pengadil semakin mencabar kerana semakin ramai bersikap kasar dengan pengadil.