Peminat Bengang Galtier Takut Keluarkan Mbappe Yang ‘Off Form’ Sebaliknya Keluarkan Messi Yang Cemerlang

Peminat Paris Saint-Germain (PSG) menyelar tindakan pengurus kelab dan juga sikap mementingkan diri sendiri penyerang Kylian Mbappe ketika di atas padang. Di mana pemain muda itu dilihat beberapa kali tidak mengendahkan Messi walaupun pemain Argentina itu di kedudukan lebih baik untuk menjaringkan gol.

Paris Saint-Germain hanya mampu seri ketika mereka menentang AS Monaco di tempat sendiri dalam Ligue 1 pada 28 Ogos.

Kevin Volland memberikan pendahuluan kepada pelawat pada minit ke-20 permainan. Neymar Jr. menyelamatkan satu mata untuk PSG dengan penalti yang diambil dengan baik pada minit ke-70 permainan. Mujur kali ini Mbappe dan Neymar tak bergaduh hal penalti seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, Mbappe menjadi subjek kritikan peminat atas insiden dalam permainan. Misalnya ketika dia memilih untuk merembat dari luar kotak berbanding menghantar kepada Messi yang menunggu di dalam kotak untuk menerima bola, dalam kedudukan dia terbuka.

Peminat juga berang dengan keputusan Christophe Galtier untuk mengeluarkan Messi pada minit ke-87 dengan pasukan itu memerlukan gol. Ini kerana Messi adalah pemain yang cemerlang dalam perlawanan itu. Sebaliknya Mbappe pula pemain yang tidak beraksi cemerlang.

Sepatutnya Galtier mengekalkan pemain yang cemerlang di atas padang. Jika dia tak mahu mengeluarkan pemain seperti Mbappe, mereka mencadangkan Galtier mengeluarkan pemain daripada bahagian lain untuk memberikan serangan mereka lebih pemain serangan dalam usaha mengejar kemenangan ke atas Monaco.

Mereka percaya pemenang Piala Dunia 2018, Kylian Mbappe sepatutnya digantikan daripada pemenang Ballon d’Or tujuh kali. Antara bukti Mbappe sangat teruk adalah dia terlepas peluang gol dari jarak dekat sehingga dianggap pengulas sebagai salah satu miss of the season.

Peminat menggunakan Twitter untuk berkongsi kekecewaan mereka terhadap Mbappe dan pengurus Perancis itu. Ada yang menganggap Galtier takut nak keluarkan Mbappe kerana risau pemain itu merajuk pula dengannya.

Mereka kesal dengan apa yang menimpa Messi dalam perlawanan tersebut.

Salah seorang peminat berkata: “Mbappe, Saya bersumpah saya tidak yakin langsung melihat kamu akan menjaringkan gol dari luar kotak penalti [dalam kedudukan itu], dan mengapa kamu lebih sanggup merembat dan bukannya menghantar kepada Messi yang terbuka.”

Mereka juga berkongsi data statistik yang menunjukkan bahawa Mbappe adalah pemain paling kurang menjadi di kalangan trio serangan mereka dalam perlawanan tersebut.

Mungkin itulah sebabnya peminat kali ini memahami kenapa Messi sendiri kebingungan, kenapa dia harus dikeluarkan?

Namun peminat tidak 100% menyalahkan Mbappe dalam hal ini. Kerana menurut mereka, ianya berpunca daripada kelab sendiri yang memberikan Mbappe keistimewaan sehingga dia kini menjadi seperti pemilik kelab.

Lionel Messi, telah berjaya membuat permulaan yang baik untuk musimnya juga. Dalam empat perlawanan, maestro Argentina itu telah berjaya menjaringkan empat gol dan memberikan dua bantuan.

Dia mengharungi musim sukar pada musim lalu selepas tiba dari FC Barcelona. Dia menjaringkan 11 gol dan memberikan 15 bantuan dalam 34 perlawanan di semua pertandingan. Jumlah itu jauh daripada standard seorang Lionel Messi.

Bagaimanapun, musim ini, Messi kelihatan seperti dirinya yang biasa pada musim ini.