Peminat Chelsea Berang Lihat Madueke Ketawa Di Belakang Thiago Silva Yang Sedang Menangis

Peminat Chelsea semakin menyampah dengan sikap Noni Madueke. Sebelum ini dia terlibat dalam insiden kebudak budakan berebut penalti dengan pemain lain.

Dan terbaru, selepas wisel penamat separuh akhir Piala FA 2023/24, Madueke dilihat bergelak ketawa sambil bergurau senda dengan Jack Grealish. Sedangkan Thiago Silva sedang menangis di hadapannya.

Chelsea disingkirkan oleh Man City dari separuh akhir Piala FA. Gol tunggal oleh Bernardo Silva memastikan Man City mara ke final. Ianya kebangkitan oleh City yang sebelum ini masih bersedih disingkirkan oleh Real Madrid daripada pertandingan Liga Juara Juara Eropah.

Respon Bernardo Silva itu juga berlaku tepat pada masanya, selepas pemain itu melakukan penalti yang menuai kritikan ramai ketika penentuan penalti berdepan Real Madrid sebelum ini.

Bagi Chelsea, musim mereka musim ini terus sukar. Satu detik yang menarik perhatian peminat adalah ketika Thiago Silva meratapi kekalahan di tangan City sehingga menangis, pemain muda mereka, Noni Madueke dilihat bergembira di belakangnya. Seolah olah tiada apa yang berlaku di atas padang.

Laman Ubar Chelsea FC menulis: ‘Thiago Silva menangis dan Noni Madueke bergelak ketawa dan bergurau di belakangnya. Dan orang ramai persoalkan, apa masalah dengan skuad Chelsea ini?’

Yang lain menganggap Madueke adalah pemain bermasalah: ‘Dia pemain bermasalah, sebelum ini dia berebut penalti dengan rakannya’.

Sementara yang lain berkata: ‘Dia cuma tahu menggelecek bola namun tidak ada produk akhir.’

Peminat Chelsea juga membandingkan jiwa Thiago Silva dengan Madueke yang jelas berbeza. Thiago Silva membuktikan jiwanya adalah untuk Chelsea. Sementara Noni Madueke hanya bermain untuk diri sendiri.

Thiago Silva sebelum ini pernah menyatakan dia sentiasa berterima kasih dengan Chelsea yang masih mempercayainya ketika dia dianggap sudah tua semasa di fasa akhir kariernya di PSG.

Silva membalasnya dengan membantu kelab itu membuat kejutan menjadi juara UCL ketika di bawah kendalian Thomas Tuchel.

Ramai peminat berharap Madueke segera dijual ke kelab lain selepas ini.

Yang lain menegaskan, tindakan Madueke itu tidak sesuai untuk pemain di kelab besar seperti Chelsea. Sesuai untuk kelab bawahan dan liga kasta kedua.

Pochettino sebelum ini menyatakan bahawa skuadnya masih sangat muda dan masih perlu belajar.