Segelintir peminat Chelsea mulai menyampah dengan mentaliti Enzo Maresca dan membandingkan pengurus itu dengan Thomas Tuchel.
Terbaru, Enzo Maresca sekali lagi menegaskan bahawa Chelsea hanya mensasarkan untuk bermain kembali di pentas UCL dalam masa dua tahun lagi.
Dan kini Chelsea menurutnya sedang berada di landasan tepat kerana mereka boleh kembali ke UCL lebih awal daripada sasaran.
Beberapa bulan lalu Enzo Maresca menyatakan bahawa kelab itu tidak mensasarkan kejuaraan liga langsung. Sebaliknya hanya fokus kepada meraih 3 mata.
Pada ketika itu Chelse berada di kedudukan sangat baik dalam persaingan untuk merebut tempat teratas dalam EPL. Selepas berkali kali membuat komen tersebut, Chelsea benar benar mulai hilang fokus dan dipintas beberapa kelab lain.
“Sasaran saya dengan kelab ini adalah kembali beraksi di dalam UCL dalam masa 2 tahun lagi. Jangan lupa bahawa Chelsea tidak pernah menamatkan liga di kelompok 4 teratas dalam dua musim terakhir ini.
“Kami berada di landasan yang tepat dan akan melakukan yang terbaik untuk mengembalikan semula kelab ini di tempat ia sepatutnya berada,” tegas pengurus itu.
Kenyataan itu mulai menerima reaksi berbeza daripada peminat Chelsea. Mereka mengimbas kembali mentaliti Thomas Tuchel sebelum ini.
Di mana pengurus Jerman itu berkata: “Saya di sini untuk memenangi kejuraan liga. Dan saya di sini untuk memenangi perlawanan, yang boleh membantu kami memenangi liga,
“Ini adalah perkara yang saya sendiri tuntut daripada diri sendiri. Jadi kenapa sekarang kita perlu cakap lain pula? Untuk memenangi liga dalam 4 atau 5 tahun lagi, atau dalam masa 2 atau 3 tahun lagi?
“Saya tak tahu kenapa perlu macam itu? Sekarang adalah masanya,” tegas Tuchel ketika itu.
Walaupun Chelsea tidak pernah memenangi EPL di bawah Tuchel namun dia berjaya membantu pasukan yang dianggap dalam krisis prestasi di bawah kendalian Lampard itu menjadi juara Liga Juara Juara Eropah.
Malangnya selepas itu Tuchel ketika itu berdepan dengan banyak masalah yang bukan berpunca daripadanya. Kelab berdepan masalah tekanan daripada kerajaan UK kerana kes melibatkan Roman Abramovich.
Ketika Todd Boehly mengambil alih Chelsea dia tidak begitu sehaluan dengan Tuchel dan akhirnya pengurus itu dipecat.
Peminat segera membandingkan Tuchel dengan Enzo Maresca.
https://t.co/JIfKqkNYt7 pic.twitter.com/sngJf3zMLt
— Tobes (@TobyEvenden) February 13, 2025
Peminat segera menyatakan bahawa mentaliti Tuchel dan Enzo Maresca benar benar berbeza. Dan mentaliti Tuchel telah membantu menaikkan lagi semangat pemain untuk cuba memenangi sesuatu di atas padang.
Sedangkan Enzo Maresca pula menurut mereka pengurus yang tipikal ‘percaya kepada proses’.
“Mentaliti pengurus ini telah memberikan kesan kepada pemain pemain yang ada, dan kamu boleh nampak mereka laparkan kejayaan dalam diri mereka,” kata seorang peminat.
Seorang pula berkata: “Tuchel mendapat skuad yang lebih baik daripada Maresca”
Namun pandangan itu ditepis yang lain. Kerana menurut mereka, peminat Chelsea sendiri tidak yakin skuad Chelsea ketika itu mampu menjadi pencabar kejuaraan UCL.
Yang lain berkata: “Skuad TT lebih baik? Tak kawan, yang lebih baik itu adalah taktikal dia.”
Pada masa yang sama, tidak siapa pun pada masa itu meminta Tuchel untuk menjuarai UCL atau mengejar kejuaraan liga sebaik sahaja dia tiba di Chelsea. Terang terang Tuchel menyatakan bahawa dia sendiri yang menuntut perkara itu daripada dirinya.