Peminat Euro Boleh Hisap Ganja Di Jerman

Peminat Euro nanti boleh menghisap ganja pada Euro 2024 selepas perubahan drastik dalam undang-undang diluluskan kerajaan baru baru ini.

Jerman menganjurkan edisi ke-17 kejohanan beprestij di Eropah itu antara 14 Jun dan 14 Julai, dengan perlawanan perlawanan Euro akan berlangsung di Berlin, Munich, Dortmund, Stuttgart, Gelsenkirchen, Frankfurt dan Hamburg untuk menamakan hanya beberapa bandar.

Tetapi hanya beberapa bulan sebelum perlawanan pembukaan antara Jerman dan Scotland dalam Kumpulan A di Allianz Arena, ganja telah ‘dihalalkan’ di negara itu.

Seperti yang dilaporkan oleh BBC, Ahli Parlimen di Jerman telah meluluskan undang-undang, yang kini bermakna menghisap ganja di tempat awam akan menjadi sah pada 1 April.

Undang-undang yang diperkenalkan membenarkan pemilikan 25g ganja di khalayak ramai untuk mereka yang berumur lebih dari 18 tahun.

Namun setiap individu ada hadnya iaitu 50g dan memiliki satu sehingga tiga jenis sahaja.

Menteri Kesihatan Karl Lauterbach telah mendesak perubahan dalam usaha untuk mengurangkan ganja haram yang menguntungkan sindiket penjenayah di negara itu.

Dan pada hari Jumaat, parlimen negara itu bersuara dan keputusan 407 undi kepada 226 dicapai, dengan empat berkecuali.

Peminat yang pergi ke Jerman untuk kejohanan Euro akan datang mungkin boleh menghisap ganja dengan bebas, walaupun bgeitu, berbuat demikian berhampiran sekolah dan stadium serta kompleks sukan masih dilarang.

Bermakna peminat terutama dari England dan Scotland yang kaki pub boleh la menikmatinya di sana.

Namun begitu, kerajaan Jerman ketika ini dalam fasa kajian lebih mendalam perlaksanaan ganja rekreasi di negara itu.

Pada awalnya, kerajaan membenarkan farmasi dan kedai berlesen untuk menjual ganja tetapi ia telah dibatalkan.

Sebaliknya, ianya cuma boleh dijual di kelab sosial ganja yang berlesa. Namun kelab mesti mempunyai had 500 ahli sahaja dan banyak lagi peraturan lain harus diikuti.

Namun begitu, peraturan penggunaan ganja yang bakal dibenarkan pada 1 April ini boleh dimansuhkan serta merta pada tahun depan jika pembangkang yang merupakan puak konservatif berjaya merampas kerajaan.