Peminat Kagum Bagaimana Wenger Konsisten Bimbing Arsenal Ke UCL Dengan Pemilik Kedekut

Dalam beberapa laporan dikeluarkan oleh media, menunjukkan bahawa Arsene Wenger ternyata pengurus yang sangat berjimat. Malah dia yang memberikan pulangan sangat besar kepada kelabnya berbanding yang lain.

Ini adalah laporan nett spends oleh Wenger berbanding kelab kelab lain dari 2004 sehingga 2013. Daripada 6 pasukan digelar big six itu, Manchester City membelanjakan £410 juta. Diikuti Chelsea dengan £390 juta.

Man United pada era itu masih lagi di bawah Sir Alex telah membelanjakan £170 juta. Sementara Liverpool dengan £169 juta serta jiran Arsenal iaitu Spurs pula membelanjakan £92 juta.

Di kalangan mereka semua, Arsenal satu satunya kelab yang membawa pulangan daripada perbelanjaan bersih ini. Di mana mereka menerima keuntungan / wang masuk sebanyak £20 juta, hasil daripada penjualan pemain dan membeli pemain pemain murah serta menaikkan pangkat pemain akademi.

Kemudian satu lagi lembaran laporan menunjukkan bagaimana kelab mendapat keuntungan. Berdasarkan pelbagai cara termasuk dari operasi (hijau), suntikan dana oleh pemilik (merah), pinjaman (kuning), interest (biru tua), penjualan aset (biru muda).

Dalam carta di bawah paling ajaib, Arsenal tidak ada dana daripada pemilik sebaliknya Arsene Wenger memberikan kelab keuntungan  100% daripada pengurusan operasi yang dilaksanakannya.

Para peminat kagum dengan kemampuan Wenger dengan konsisten menjadikan Arsenal pesaing kejuaraan, dan membawa Arsenal mara ke UCL selama 20 musim berturut turut.

Sedangkan pemilik Arsenal sangat kedekut pada era beliau.

Wenger sentiasa percaya bahawa top 4 adalah ‘trofi’ pertama yang harus difikirkan setiap pemain. Namun falsafah beliau ketika itu ditentang peminat yang mengingatkan Wenger bahawa top 4 bukan trofi seperti yang beliau maksudkan.

Kempen Wenger Out mulai bergema kerana peminat mahukan Liga Perdana Inggeris ataupun UCL!

Wenger mengawal perbelanjaan kelab dan sentiasa memberikan keuntungan kepada pemilik. Sehinggakan pada satu ketika pemilik kelab dilihat mengambil kesempatan ke atas Wenger. Selepas Wenger memberikan mereka pulangan, pemilik pula tidak memberikan dana perpindahan yang secukupnya untuk bersaing dengan kelab lain di bursa perpindahan.

Seterusnya ramai pemain meninggalkan Arsenal kerana Wenger tidak menawarkan mereka gaji yang terlalu besar. Polisi Wenger sebelum ini, tiada pemain lebih besar gaji daripada beliau sehinggalah Mesut Ozil yang pertama menjadi pemain bergaji lebih besar dari Wenger.

Pemilik kelab selalu menjadikan alasan bahawa stadium baharu adalah sebab kenapa mereka perlu berjimat. Sedangkan sebenarnya hutang stadium Arsenal tidaklah terlalu teruk, dengan keuntungan yang mereka dapat setiap musim.

Mana mana pemilik kelab pasti akan mengimpikan manager seperti Wenger yang mampu memberikan mereka wang, bukan sebaliknya.

Seterusnya Wenger memberikan Arsenal 3 kejuaraan liga, 7 piala FA dan sudah tentunya rekod luar biasa 49 perlawanan tanpa kalah sekitar 2003-2004 bersama dengan pasukan invincibles Arsenal.

Rumusan

Mungkin kebaikan Wenger kepada pemilik kelab hanya sia sia. Kerana beliau tidak dihargai dengan lebih baik. Hanya pada akhir kariernya sahaja Wenger mulai diberikan dana perpindahan lebih besar untuk mendapatkan pemain seperti Ozil, Lacazette dan Aubameyang.

Namun ianya selepas mereka kehilangan beberapa bintang besar seperti Alexis Sanchez, Robin Van Persie.

Wenger pengurus yang sangat profesional dan sentiasa cuba membantu Arsenal untuk tidak berada dalam kedudukan teruk dari sudut kewangan. Tetapi pada masa yang sama, pemilik kelab seolah olah mengambil kesempatan dengan tidak menyuntik dana dari mereka.

Kroenke malah dilaporkan meminta £3 juta setiap musim untuk kos elaun konsultansi. Adeh, dia pemilik kot.

Itu belum lagi kira wang yang Kroenke bedal daripada keuntungan kelab tanpa melabur balik. Malah pemilik mengambil tindakan bodoh seperti membuang staf serta memecat maskot kelab. Berapa la sangat jumlah tu kan.

Kalau ikutkan pemilik Arsenal antara saudagar yang paling kaya seperti Ismeth Ulam Raja.

Itulah yang membuatkan peminat Arsenal berbulu dengan Kroenke. Dan mereka juga pernah geram dengan Atok Wenger yang dianggap terlalu ‘memanjakan’ pemilik kelab yang membawa kepada penentangan kepada Wenger sendiri.

Kini hutang Arsenal semakin bertambah. Dan Wenger tidak ada lagi bersama Kroenke nak mengelakkan semua ini.

Tetapi bila fikir kembali, memang power juga Wenger ni kan.