Peminat Kongsi Video Rashford, Bukti Bahawa Ole Memang Lemah Uruskan Kecergasan Pemain

Anthony Martial membuat wawancara berani mati mengecam 2 orang pengurusnya iaitu Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer.

Ada satu perkara yang dibangkitkan oleh Martial adalah berkenaan dengan Ole yang meggunakannya ketika dia masih cedera.

Martial Puji LVG, Tetapi Kutuk Mourinho & Ole Sebagai Tak Menghormatinya Dan Pengkhianat

Martial menyatakan bahawa dia sentiasa sedia berjuang untuk Ole walaupun cedera. Namun dia kecewa apabila pengurus itu langsung tidak mempertahankannya di hadapan umum dan media.

Selain itu Ole juga tiba tiba menyisihkannya daripada kesebelasan utama sebaik sahaja dia pulih kembali tanpa berterima kasih kepada pengorbanannya dahulu.

Peminat Man United mengimbas kembali tentang beberapa siri kelemahan Ole dalam mengendalikan pemain yang baru pulih.

Satu video yang dikongsi semula menunjukkan bahawa Rashford dengan terbuka menyatakan bahawa dalam pasukan mereka yang beraksi di final UEL menentang Villarreal, ada 6 atau 7 pemain yang kurang cergas. Namun mereka bertarung sehingga ke wisel penamat dengan kesakitan.

Marcus Rashford melepaskan kekecewaannya selepas kekalahan mengejut di final Liga Europa kepada Villarreal, menegaskan menamatkan kempen sebagai naib juara bukanlah perkara yang sia seperti didakwa sesetengah pihak. Perlawanan tersebut berakhir 1-1 dan dimenangi oleh Villarreal menerusi penentuan penalti di Gdansk.

“Ia mengecewakan. Perasaan itu sukar untuk dijelaskan,” kata Rashford kepada BT Sport.

“Kami datang ke sini untuk menang. Kami telah bekerja keras sepanjang musim dan ini adalah peluang untuk memenangi trofi.”

“Mungkin bukan sekarang, tetapi kami perlu melihat kembali perlawanan ini dan melihat di mana kami boleh meningkat diri kami lagi di masa hadapan.”

“Pasukan tidak akan berputus asa, pengurus tidak akan berputus asa. Kami akan datang lagi musim depan dengan keinginan yang lebih besar. Itu adalah perkara yang sangat saya sukai tentang Manchester United. Kerana bagi saya, pasukan ini memiliki kelaparan, keinginan, bakat dan keupayaan – kami mempunyai segala-galanya untuk bersaing di peringkat tertinggi.”

“Kami hanya perlu menunjukkannya kepada dunia dan kepada diri sendiri, mengapa kami berada di tempat seperti ini.”

“Berada di tangga kedua tidak boleh dikira sia-sia. Saya tidak mahu mendengar, ‘oh mereka begitu hampir’. Ia tidak bermakna apa-apa. Kami perlu memastikan kami tidak tewas,” tambah Rashford.

Ada 6-7 pemain bermain dalam kesakitan

Seterusnya Rashford mendedahkan bahawa ramai pemain berkorban untuk menang terutama sekali ada 6 atau 7 pemain mereka yang kurang cergas tetapi diminta bermain.

“Untuk memenangi trofi besar anda perlu menunjukkan pengorbanan. Saya boleh tunjukkan kepada kamu bahawa ada enam, tujuh pemain yang telah mengalami kecederaan sejak September. Kami perlu melupakannya [move on] sekarang dan membersihkan kepala kami.”

“Apabila Ole masuk ada proses yang dia mahu bina. Kami percaya pada proses itu dan ini bukan penamat proses. Hanya kerana kami kalah hari ini, saya berjanji kepada peminat bahawa kami tidak akan berputus asa.”

“Kami perlu melakukan yang terbaik di atas padang. Kami hampir, saya berjanji kami dekat, tetapi dekat itu tidak cukup baik.”

Daripada kenyataan itu, peminat menjelaskan bagaimana Ole suka mendesak pemain yang baru cergas atau separuh cergas untuk bermain.

Antara pemain yang separuh cergas atau baru pulih masa itu ialah Harry Maguire, Lindelof, Martial, Mason Greenwood dan Marcus Rashford sendiri.

Maguire mengalami kecederaan di pinggulnya dan Rashford pula terpaksa menahan kesakitan dan tidak memasuki bilik pembedahan kerana tak mahu terlepas Euro.

Greenwood kemudian terlepas aksi Euro kerana kecederaan yang disebut Southgate sebagai tidak diketahui.

Selain itu, Ole pernah memasukkan Pogba yang masih belum cergas sepenuhnya dan membuatkan pemain itu mengalami kecederaan sekali lagi.

Ole juga dilaporkan pernah melakukan perkara yang sama ketika meminta Scott McTominay terlibat dalam tugasan hari perlawanan.

Baca yang lain