Peminat United Puji CEO Baru Mereka Omar Berrada Yang Genius Dalam Penjualan Mason Greenwood

Peminat Manchester United memuji strategi perpindahan Omar Berrada ketika dia mengetuai penjualan Mason Greenwood.

Sebelum ini ada peminat kurang senang dengan usaha United mahu menjual Mason Greenwood. Namun Sir Jim Ratcliffe memilih jalan mudah mahu menjaga reputasi dan imej kelab walaupun pemain itu sudah dibebaskan daripada semua pertuduhan oleh mahkamah.

Hal ini kerana kes Greenwood ini ada bukti video yang jelas, cuma kes digugurkan atas permintaan teman wanitanya yang ketika ini masih mahu menjadi teman hidup Greenwood dan kemudian mereka turut merancang untuk memiliki anak.

Omar Berrada sebelum ini direhatkan oleh Man City selepas dia memutuskan untuk meletak jawatan kerana mahu menyertai Man United. Dia diarahkan berehat beberapa bulan dahulu oleh Man City yang tidak mahu dia terus ke United.

Dan penantian Man United untuk CEO baharu itu benar benar memberikan impak yang bagus pada urusan perpindahan United setakat ini.

United sudah berjaya mendapatkan Zirkzee dan sedang memintas Real Madrid dalam mendapatkan Leny Yoro. Sedangkan kelab seperti PSG dan Liverpool dilaporkan sudah menarik diri daripada usaha mendapatkan Yoro kerana menganggap Real Madrid sukar dikalahkan dalam transaksi tersebut.

Lebih menarik adalah strategi penjualan Mason Greenwood yang dianggap sangat mengejutkan dan membuatkan peminat akur memang ini cara terbaik untuk melepaskan pemain berbakat yang dianggap tidak boleh bermain untuk kelab lagi.

Marseille menjadi satu satunya kelab yang benar benar serius mahu membayar angka €30 juta untuk pemain itu. United sebenarya meminta harga sekitar €35 juta ke €40 juta untuk pemain itu. Membuatkan kelab seperti Atletico dan Borussia Dortmund terus menarik diri.

Seterusnya Juventus pula menyatakan mereka hanya sanggup membayar €20 juta untuk pemain itu. Dan yakin Greenwood akan tertarik untuk mendesak perpindahan ke sana. Namun Omar Berrada ternyata genius dan berjaya memujuk Greenwood untuk tidak berbuat demikian.

Marseille mungkin menganggap angka itu berbaloi untuk Greenwood yang masih muda. Namun Berrada menegaskan bahawa jika Marseille setuju membayar €40 juta untuk pemain itu, maka Greenwood terus menjadi milik mereka tanpa ada klausa yang ada kaitan dengan United lagi – kecuali klausa pembangunan yang biasanya di bawah 15%. Paling paling pun 20%.

Namun jika Marseille mahukan pakej €30 juta mereka harus setuju menerima klausa penjualan sehingga 50% daripada keuntungan yang diselitkan oleh United. Ini bermakna, United dan Marseille akan membahagikan hasil penjualan itu kepada 50-50 jika kelab itu menjual Mason Greenwood di masa akan datang.

Sebagai contoh, Marseille menjual Greenwood €50 juta selepas ini, maka Marseille akan mendapat €30 juta sebagai pulangan modal. Namun United berpotensi mendapat sehingga 50% daripada keuntungan €20 juta itu. Jadi United berpotensi meraih €10 juta lagi di masa akan datang. Tambah dengan €30 juta yang mereka dah dapat sekarang, maka United masih mencapai hasil €40 juta.

Peminat United kagum dengan strategi Omar Berrada yang dianggap memudahkan pembeli untuk memilih pakej yang dianggap akhirnya kedua dua pihak menang menang.

Dalam kes Greenwood, kelab berjaya menjual pemain yang tidak ada dalam perancangan Ten Hag. Dan kemudian, Mason Greenwood pula berjaya mendapat kontrak dengan kelab yang baik. Seterusnya United juga mendapat hasil jualan yang memuaskan kerana klausa penjualan itu.

Seorang peminat berkata: “Apa yang dilakukan Berrada hari ini adalah sudah cukup bagus daripada apa yang dilakukan Glazer dan Ed Woodard berdekad lamanya.”

Yang lain pula menyatakan: “Patutlah selama ini Man City lancar je urusan jual beli pemain mereka, dan tidak perlu tersekat lama pada satu transaksi perpindahan sampai berminggu minggu.”

United juga dikaitkan dengan Matthijs De Ligt yang menjadi pilihan Ten Hag untuk menggantikan Raphael Varane. Pemain itu sudah memberitahu ejennya bahawa dia cuma mahu ke United.

Peminat sempat menyindir Ed Woodward yang suka bercuti pada pra musim sedangkan Omar Berrada, Dan Ashworth dan Jason Wilcox terus bekerja.