Penamat Drama ‘Perempuan Tanpa Dosa’ Dikritik Penonton

Drama bersiri Perempuan Tanpa Dosa baru sahaja berakhir malam semalam dan para penonton sepertinya tidak berpuas hati dengan penamat cerita tersebut.

Drama bersiri tersebut diarahkan oleh Michael Ang dan telah membariskan barisan pelakon seperti Kamal Adli, Uqasha Senrose, Uyaina Arsyad dan Yusoff Ibrahim.

Mula ditayangkan pada 6 Oktober lalu, drama yang disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 10 malam di Astro Ria, itu telah tamat semalam.

Drama yang mempunyai pelbagai plot twist ini berjaya menarik minat penonton untuk menjadi penunggu dihadapan TV setiap kali ianya ditayangkan.

Bahkan, malam-malam para penonton pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad terasa sepi tanpa ditemani oleh drama arahan Michael Ang tersebut.

Konflik awal cerita ini bermula apabila Datuk Majid(Hilal Azman), terpaksa mengkahwinkan anak perempuan tunggalnya, Lily(Uqasha Senrose) dengan Rizal(Kamal Adli) demi untuk menjaga maruah keluarga.

Hal ini kerana Lily telah dirogol oleh teman lelakinya, Eddie(Zac Zaky) dan menyebabkan beliau hamil dan kekasihnya itu tidak mahu bertanggungjawab.

Datuk Majid kemudian telah menawarkan sejumlah wang kepada Rizal yang ketika itu bekerja dibawahnya untuk berkahwin dengan anaknya.

Rizal pula, ketika itu sudah mempunyai tunang bernama Usu Sakinah(Uyaina Arsyad) atas permintaan ibunya yang mahu beliau terus menjaga adik angkatnya itu.

Namun Rizal memilih untuk memutuskan pertunangan tersebut dan berkahwin dengan Lily.

Lily menjadi semakin akrab dengan Usu yang ketika itu beliau fikirkan bernama Sakinah tanpa mengatahui bahawa gadis yang beliau percaya itu merupakan bekas tunang suaminya sendiri.

Hubungan Rizal dan Lily bersama Datuk Majid menjadi retak dan beliau sama sekali tidak membenarkan isterinya untuk menghubungi bapa mertuanya kerana rasa marah dan dendam.

Pada suatu hari, ketika Datuk Majid jatuh sakit, Rizal telah membawa Lily untuk bertemu ayahnya dan dalam situasi ini beliau sudah mula merasa kasihan kepada isterinya.

Dari perasaan kasihan itu, Rizal menjadi sayang kepada isterinya dan sanggup untuk memaafkan Datuk Majid demi untuk melihat Lily bahagia.

Datuk Majid meminta untuk dikeluarkan dari Hospital dan mahu berehat di rumah sahaja, Rizal memenuhi permintaan itu dan telah membawa bapa mertuanya pulang.

Sebaik keluar dari Hospital, Datuk Majid ditimpa musibah apabila beliau telah dilanggar lari oleh Eddie ketika sedang membeli minuman kegemarannya.

Selepas kematian Datuk Majid, Lily berubah dari seorang yang lemah lembut kepada watak seorang yang lebih tegas.

Beliau telah menyalahkan Rizal atas kematian ayahnya dan menganggap suaminya itu gembira atas pemergian ayahnya, tanpa beliau tahu bahawa Rizal sebenarnya sudah memaafkan Datuk Majid sejak dari di Hospital lagi.

Rizal berjanji kepada Datuk Majid bahawa beliau akan menjaga Lily sebaik mungkin sama seperti janjinya terhadap ibunya sendiri yang beliau akan menjaga Usu dengan baik.

Jalan cerita semakin menarik selepas Lily akhirnya mendapat tahu bahawa sahabatnya Sakinah, sebenarnya adalah Usu bekas tunang Rizal dan berniat untuk menjadi isteri kedua kepada Suaminya.

Lily dengan berat hati telah meminta Rizal agar untuk melepaskan beliau dan menyuruh suaminya untuk berkahwin dengan Usu.

Mereka berdua sepakat untuk bercerai sebaik Lily selamat melahirkan anak dan tidak lama selepas perjanjian itu dibuat, Eddie muncul kembali untuk merampas bekas kekasihnya itu dari Rizal.

Pelbagai tindakan jahat dan keji yang dilakukan oleh Eddie dalam usahanya untuk mendapatkan Lily kembali sehingga beliau dengan sengaja menolak Lily hingga jatuh dan hampir keguguran.

Selepas selamat melahirkan anak, Lily meminta Rizal untuk melepaskan beliau namun suaminya itu cuba untuk memujuknya dan berusaha untuk merebut hatinya kembali.

Eddie telah menculik Lily dan anaknya lalu mengugut Rizal supaya menceraikan isterinya dan menyerahkan semua harta peninggalan Datuk Majid kepadanya.

Oleh kerana terpaksa, Rizal telah menceraikan Lily dan mujur saja sebelum sempat beliau menyerahkan harta peninggalan Datuk Majid kepada Eddie, Lily telah berjaya diselamatkan oleh sahabatnya, Yaya(Shaza Bae).

Eddie telah dibakar hidup-hidup oleh pak cik beliau sendiri yang juga merupakan sahabat Rizal kerana rasa marahnya atas perbuatan anak saudaranya itu yang menyebabkan kematian anak gadisnya Mira dan permasalahan dalam rumah tangga Lily.

Rizal terus berusaha untuk kembali mendapatkan Lily namun usahanya menemui jalan sia-sia dan bekas isterinya itu menolak untuk mereka kembali bersama.

Drama tersebut dilaporkan telah ditambah empat episod lagi atas permintaan para peminat, dan berita tersebut sememangnya disambut baik oleh para penonton.

Namun sayangnya, tambahan empat episod itu sepertinya tidak membuatkan jalan cerita tersebut semakin menarik, malah ia menjadikannya lebih teruk dan membosankan.

Lily yang awalnya berkeras tidak mahu menerima Rizal kembali akhirnya bersetuju untuk berkahwin dengan bekas suaminya itu hanya kerana Rizal menyatakan hasrat untuk mengikutinya berhijrah ke Jakarta, Indonesia.

Selepas itu mereka terus dikahwinkan semula dan Usu pula turut bersetuju untuk menjadi isteri kepada sahabat karib Rizal, Rahman(Yusuf Bahrin).

Penonton berasa tidak berpuas hati dengan penamat cerita tersebut dan merasakan andai begitu akhir cerita, mengapa tidak dihabiskan mengikut waktu yang ditetapkan sahaja, dan untuk apa tambahan empat episod kalau sekadar untuk flash back.

Walau bagaimanapun, usaha Michael Ang dalam menghasilkan drama bersiri seperti ini harus dipuji kerana ianya boleh dikatakan menarik dan ianya akan menjadi sangat menarik andai tiada tambahan episod.

Watak Rahman merupakan watak paling menarik dalam cerita ini, dengan karakter lelaki budiman dan pandai berkata-kata, penonton turut terhibur melihat beliau memakai knee braces dari awal cerita hingga ke episod terakhir.

Andai beliau terkena ACL, adakah beliau perlu untuk memakai knee braces tersebut untuk tempoh tiga empat tahun? Tetapi ianya tidak menjejaskan karakternya yang hebat dalam drama ini.

Jadi untuk penunggu drama jam 10 malam, sudahkah anda bersedia untuk drama bersiri seterusnya?

Baca yang lain