Silat Diiktiraf UNESCO – Kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity

Ini adalah berita baik kepada kita semua. Terbaru, seni mempertahankan diri iaitu silat telah mendapat pengiktirafan daripada UNESCO.

Silat berjaya disenaraikan di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan itu diberikan pada persidangan mesyuarat sesi ke-14 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage yang berlangsung di Bogota, Colombia dari 9 hingga 14 Disember.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi mengesahkan bahawa pengiktirafan itu adalah melalui keputusan sebulat suara oleh 24 Ahli Jawatankuasa yang bermesyuarat.

Mereka ini terdiri daripada negara-negara anggota yang dipilih untuk mengisi kerusi jawatankuasa itu untuk tempoh enam tahun.

Dipetik dari sumber Berita Harian, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata: “Penyenaraian di peringkat UNESCO merupakan pengiktirafan bertaraf dunia ke atas satu daripada khazanah warisan negara bagi warisan kebudayaan tidak ketara.”

“Penyenaraian ini juga akan memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan dunia dan secara tidak langsung akan mendapat perhatian pelbagai pihak dan dunia,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.”

Malaysia telah menghantar pencalonan pada 30 Mac lalu kepada UNESCO di Paris. Datuk Mohamaddin Ketapi juga berterima kasih di atas kerjasama diberikan pelbagai pihak terutama sekali daripada beberapa agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Jika tidak, semua ini pasti tidak akan dapat direalisasikan.

Datuk Mohamaddin Ketapi menganggap pengiktirafan itu sangat bermakna selepas kejayaan Malaysia menghantar pencalonan ‘Mak Yong’ dalam kategori Masterpieces of the Oral and Intangible Cultural Heritage of Humanity (Originally Proclaimed 2005) ketika persidangan sesi ke-3 jawatankuasa itu di Istanbul, Turki pada tahun 2008.

Ia diikuti kejayaan kali kedua, apabila Malaysia berjaya mendapat pengiktirafan ‘Dondang Sayang’ dalam kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity semasa persidangan sesi ke-13 di Port Louis, Mauritius pada tahun 2018.

Datuk Mohamaddin Ketapi percaya pengiktirafan itu akan mengukuhkan lagi hubungan jaringan dengan kebanyakan negara anggota.

Ini secara langsung akan membantu memudahkan Malaysia mengangkat lebih banyak pencalonan warisan kebudayaan tidak ketara pada masa akan datang.

Delegasi Malaysia ke persidangan itu diketuai Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd Yusop dan turut disertai antaranya Timbalan Perwakilan Tetap Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke UNESCO, Zuraini Abidin selain turut dihadiri Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam.

Sumber: Berita Harian

Baca yang lain

Nunez Skor Gol Kemenangan Minit Ke-90+9

Darwin Nunez menjadi wira kemenangan Liverpool dalam kunjungan mereka ke markas Nottingham Forest. Liverpool sekali lagi merehatkan pemain seperti Mo Salah di