Pencemaran Air: Suhakam Gesa Penguatkuasaan Lebih Berkesan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan dilaksanakan termasuk penalti lebih berat terhadap pelaku pencemaran sumber air.

Suhakam dalam kenyataan hari ini mencadangkan perkara tersebut bagi mengelakkan kejadian seperti pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang baru-baru ini yang menjejaskan bekalan air di 1,292 kawasan di Lembah Klang daripada berulang.

“Suhakam maklum bahawa kerajaan negeri Selangor telah mengambil tindakan terhadap kilang yang didakwa bertanggungjawab ke atas pencemaran tersebut, namun Suhakam bimbang bahawa Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 tidak dikuatkuasakan dengan baik bagi melindungi kesihatan awam dan alam sekitar.

“Pencemaran air yang berulang menunjukkan bahawa jurang besar undang-undang ini masih belum ditangani,” kata Suhakam yang turut meminta undang-undang berkaitan dikaji semula.

Suruhanjaya itu turut menggesa entiti perniagaan untuk bertanggungjawab dalam memastikan hak asasi manusia dalam mendapat bekalan air bersih dipelihara dan dilindungi.

Ekoran pencemaran minyak daripada sebuah kilang pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Susulan itu, empat pengurus kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang direman enam hari bermula semalam.

— BERNAMA

Baca yang lain