Pendakwaraya Mahu Diego Costa Dipenjara 6 Bulan

Bintang Atletico Madrid, Diego Costa kini berdepan dengan hukuman penjara di Sepanyol.

Ini selepas pendakwaraya meminta dia dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan menjelang perbicaraannya pada 4 Jun hadapan kerana kesalahan penipuan cukai di Sepanyol.

Menurut laporan di Sepanyol, melalui Cadena Ser, penyerang sensasi Atletico Madrid itu telah menipu negara Sepanyol lebih dari €1 juta kerana tidak membuat pengisytiharan jumlah pendapatan berkaitan dengan hak imej ketika perpindahannya dari Sepanyol ke Chelsea pada tahun 2014.

Laporan itu mengatakan bahawa pihak pendakwaan mahu pemain berusia 31 tahun itu dihukum penjara enam bulan serta denda €507, 208 euro.

Namun, seperti yang berlaku dalam beberapa kes perlanggaran cukai sebelum ini melibatkan para pemain bola sepak, Costa kelihatannya tidak akan menjalani hukuman penjara itu.

Undang-undang di Sepanyol membenarkan hukuman yang di bawah dua tahun penjara kerana jenayah tanpa kekerasan ditukar dengan denda dan Costa hanya perlu membayar €36,500 euro, di atas denda lebih daripada setengah juta, untuk mengelakkan dirinya daripada dipenjara.

Lionel Messi, dan ayahnya Jorge, didapati bersalah kerana menipu kerajaan Sepanyol pada tahun 2017, dan bintang Barcelona itu pada mulanya dijatuhi hukuman penjara 21 bulan.

Enam kali pemenang Ballon d’Or akhirnya membayar denda € 252,000 dan bercakap baru-baru ini dia mengakui keadaan itu hampir menyebabkan dia berhenti bermain di Sepanyol dan meninggalkan Barca.

“Pada masa itu, dengan kecelaruan isu kewangan, saya ingin pergi, bukan kerana ingin meninggalkan Barca tetapi ingin meninggalkan Sepanyol,” kata bintang Argentina itu.

“Saya merasakan bahawa saya telah dianiaya dan tidak mahu lagi tinggal di sini. Saya tidak pernah mendapat tawaran rasmi kerana kerana semua orang tahu idea saya untuk terus kekal di sini.”

Pada Januari 2019, seteru Messi, Cristiano Ronaldo juga dikenakan denda kerana menipu kerajaan Sepanyol. Pemain penyerang Juventus, yang terbang dari Turin untuk persidangan pada waktu itu, juga harus membayar denda besar untuk menghindari 23 bulan penjara.

Bukan hanya pemain yang dikenakan hukuman kerana isu cukai, malah kelab Barca sendiri pernah didenda £11.2 juta pada tahun 2014 kerana tidak mengisytiharkan dengan tepat jumlah wang perpindahan yang mereka belanjakan untuk Neymar.

Isu cukai di Sepanyol memang antara yang paling rumit di dunia terutama sekali melibatkan hak imej ataupun tajaan peribadi yang diperoleh oleh para atlet.

Ramai yang mengeluh dengan polisi cukai hak imej oleh kerajaan Sepanyol. Namun kerajaan Sepanyol menafikan mereka zalim, dan menegaskan mereka hanya menuntut hak mereka untuk para atlet yang menjana jutaan euro di negara mereka.

Baca yang lain