Di Belanda, pengadil Jan Smit dari Opmeer, Utara Belanda telah digantung seumur hidup oleh KNVB. Ini selepas dia meraikan kemenangan pasukan yang diadilinya dalam aksi Ahad lalu.
Pengadil berusia 61 tahun itu ditugaskan untuk mengadili aksi divisyen keempat antara St. George menentang SV De Valken.
Pada lewat masa kecederaan, penjaga gol St George Dave Laan menjaringkan gol kemenangan yang dramatik. Dengan Smit telah memutuskan untuk memberikan 15 minit masa kecederaan.
Bukan itu sahaja Smit turut membuang padang 3 pemain SV De Valken, membuatkan mereka bermain hanya 8 pemain.
Untuk lebih menambah keraguan, selepas tamat perlawanan, Smit menyertai keraian St George di podium. Ini termasuk menyanyi dan bersorak lagu Guardian Angel dan mengangkat piala dulang bersama sama dengan pemain di hadapan penyokong.
Keraian itu dibuat kerana mereka layak ke divisyen ketiga musim hadapan.
Pegawai pasukan lawan dari SV De Valken membuat aduan rasmi dengan mengemukakan bukti video Smit bersama sama dengan penyokong meraikan kemenangan tersebut.
Pasukan tersebut turut mempertikaikan mutu pengadilan Smit yang melayangkan kad merah terlalu mudah ke atas pemain mereka. Serta melanjutkan masa kecederaan sehingga 15 minit. Seolah olah dia menunggu pasukan tuan rumah menjaringkan gol.
KNVB tidak banyak cakap, kerana jelas sekali itu melanggar peraturan. Dan Smit terus digantung seumur hidup daripada tugasan mengadili perlawanan Liga Belanda.
Smit telah menafikan bahawa dia pilih kasih. Dia menyatakan dia hanya menyanyi lagu itu kerana terikut ikut dengan penyokong yang menyanyi.
“Mana ada saya meraikan kemenangan dengan penyokong. Saya cuma menyanyi sedikit sahaja dan cuma menjulang dulang [piala] itu sekali. Itu sahaja yang berlaku. Saya sangat sedih untuk menggambarkan keadaan,” kata Smit yang kecewa dibuang kerja.
Scheidsrechter deelt 3 rode kaarten uit aan de tegenstander en schreeuwt daarna KAMPIOENEN en staat met de schaal te zwaaien op het kampioensfeest. Kan alleen in de klasse van @SV_Ilpendam @MikeVerweij 🤣 pic.twitter.com/tsWCamEHHG
— Danny Korporaal (@dannykorporaal) May 12, 2024
Dalam pada itu peminat bola sepak Belanda turut mengecam KNVB yang tidak memiliki profiling lebih bagus ke atas pengadil mereka. Bagaimana mereka boleh melantik pengadil yang menyokong pasukan yang diadilinya?
Bagi perlawanan divisyen rendah, biasanya KNVB akan melantik pengadil di kawasan yang lebih dekat dengan tempat perlawanan. Ini untuk mengurangkan kos perjalanan atau penginapan. Tidak sangka pula mereka kali ini terlantik pengadil yang menyokong pasukan diadilinya sendiri.