[VIDEO] Pengadil Liga Malaysia Mengejutkan Semua, Memberikan Penalti Kepada Diving Dramatik Ini

Diving dan bola sepak dua perkara yang sangat sinonim. Namun ada sesetengah diving itu terlalu jelas dan ketara, tanpa ada sentuhan sekalipun. Ini yang biasanya membuatkan pengadil naik angin kerana ditipu pemain.

Bagi diving yang ada kontak pun pengadil dah panas kalau dah kantoi. Hukuman diving adalah kad kuning.

Melaka turun berdepan dengan PJ City. Selepas babak pertama tanpa jaringan, S Kumaahran meletakkan pasukkannya Melaka di hadapan. Gol peribadi kedua beliau pada musim ini.

Namun 15 minit kemudian, Darren Lok melakukan rembatan cantik menewaskan Khairul Fahmi Che Mat – untuk PJ City menyamakan kedudukan 1-1. Ianya berpunca daripada Khairul Fahmi sendiri yang melakukan sepakan gol lemah yang terus dirampas lawan.

Dan kontroversi berlaku pada minit ke-80. Ini apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada PJ City. Penalti itu dibantah Melaka United yang merasakan bahawa Khairil Anuar ataupun Beto melakukan simulasi. Beto mengerang kesakitan menunjukkan reaksi bahawa kakinya telah dibentes.

Ulang tayang jelas menunjukkan ia satu simulasi. Pengadil kemudian mendapatkan pandangan daripada penjaga garisan. Menurut pengulas perlawanan, penjaga garisan merasakan bahawa Beto berlakon.

Para pemain Melaka United meminta pengadil memberikan kad kepada Beto. Malangnya pengadil kekal dengan keputusan untuk menghadiahkan sepakan penalti.

 

Ianya mengambil masa lebih 5 minit untuk sepakan penalti diambil. Kerana pengadil mendapat bantahan daripada kem Melaka. Darren Lok tiada masalah untuk menyempurnakan penalti itu pada minit ke-85.

Namun Melaka berjaya membawa pulang 1 mata dengan gol pada masa tambahan 90+6. Di mana pemain gantian Farish Shah berjaya mengambil kesempatan daripada keadaan huru hara di hadapan gol.

Selepas 2 perlawanan PJ City dan Melaka masing masing mengutip 2 mata daripada dua keputusan seri. Kedua dua pasukan berada di 6 kelompok bawahan dalam Liga Super.

Insiden Jack Hindle dan Pengadil

Ini bukanlah perkara baru dalam Liga Malaysia. Dan musim ini pun sudah ada insiden panas melibatkan pengadil. Di mana pemain Kelantan FC, Jack Hindle telah menolak pengadil yang berada di kedudukan yang tidak sepatutnya. Malah perkara itu mendapat perhatian daripada otai, Subkhiddin Salleh.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan pemain Kelantan FC, Jack Hindle sepatutnya dilayangkan kad merah.

Hindle patut kad merah kata Subkhiddin

Ini kerana menurut Subkhiddin, tindakan Hindle menolak pengadil Amirul Aizat sebagai tindakan ofensif ataupun berkelakuan ganas kepada pengadil.

Dipetik daripada BH Online Subkhiddin menjelaskan:

“Saya tidak pasti sama ada MFL akan menggunakan video itu sebagai akses untuk mereka mengambil hukuman. Ada sesetengah pertandingan atau negara yang menggunakanya.”

“Maknanya kalau pengadil terlepas insiden di atas padang, dia akan guna pula bukti video sebagai akses untuk mereka menghukum kalau ada kesalahan yang boleh mencemarkan imej bola sepak.”

“Tapi untuk pengadil itu, mungkin ini kali pertama berlaku pada dia dan dia pun tak pasti nak ambil keputusan apa. Tapi keputusan yang sepatutnya adalah kad merah kepada pemain itu kerana ia kesalahan berkelakuan ganas.”

“Jadi, kalau pengadil itu tidak pasti untuk mengambil keputusan, dia ada ‘match official team’, jadi kumpulan ini dia ada lagi pembantu pengadil 1, pembantu pengadil 2 dan ada pegawai keempat.”

Subkhoddin juga menyatakan bahawa pengadil perlu berbincang dengan pemain tentang kelakuan ganas seperti itu sebelum memulakan perlawanan. Ini bagi mengelakkan berlaku tidak konsistensi di dalam pengadilan.

“Sebelum memulakan semula perlawanan, mereka patut bincang, ini kesalahan ganas membabitkan kelakuan pemain. Oleh itu, kalau hari ini kita lepas, esok kalau orang lain buat dan kita bagi kad merah, orang tidak akan percaya.”

Namun begitu Subkhiddin tetap bersetuju bahawa Amirul Aizat berada di posisi yang salah ketika kejadian itu berlaku dan menyebabkan insiden itu berlaku.

Walaubagaimanapun, Subkhiddin tetap berpegang pada pendirian bahawa pemain tidak berhak bersikap ganas kepada pengadil walaupun mereka melakukan kesilapan termssuk dari segi posisi.

“Pengadil [memang] salah posisi, tetapi itu tak salah dari segi undang-undang. Tapi pemain, bila anda tidak dapat menahan emosi dan kelakuan, undang-undang akan ambil tindakan. Ini di bawah klausa kelakuan ganas.”

“Pengadil ini salah mungkin dari segi kekurangan pengalaman, mungkin dia pengadil dalam proses untuk diketengahkan. Satu yang baik adalah ia jadi satu pengajaran.

“Pengajaran bukan untuk pemain (Hindle) atau pengadil (Amirul) itu sahaja. Tapi untuk semua orang, ini satu pengajaran yang hebat yang mana pemain tidak boleh buat macam itu dan sebagai pengadil perlu berhati-hati di kawasan penalti,” tambah beliau lagi.

Baca yang lain