Betul Ke Pengasah Pensil Jadi Tumpul Kalau Ditiup? Ini Jawapannya

Pada satu ketika dahulu, kanak-kanak sekolah rendah sering meminjam alat tulis, dan salah satu pesanan daripada kawan yang kita pinjam barang tu: “Sharpener tu jangan tiup, nanti tumpul.”

Isu meniup pengasah pensil jauh lebih penting daripada bila korang akan kembalikan kepadanya.

Begitu juga di rumah, sebelum ke sekolah, ibu bapa kita juga selalu mengingatkan agar tidak sesekali meniup pengasah pensil. Itu akan membuatkannya tumpul.

Pengasah pensil antara alatan sangat penting dan mustahak di alam persekolahan. Kalau di sekolah menengah ia tetap penting terutama sekali mereka yang mengambil subjek Pendidikan Seni.

Cara membersihkan pengasah pensel adalah dengan menyungkit ataupun menghempasnya sedikit di satu permukaan keras untuk mengeluarkan rautan pensil kita.

Jadi, betul ke pengasah pensil boleh tumpul kalau ditiup?

Jawapannya YA! Namun ianya tidak terus tumpul kalau korang tiup untuk kali pertama atau kedua. Tetapi kalau korang tiup, dan ia terus tumpul maknanya, ada orang lain meniupnya lebih awal.

Jadi, apakah penjelasan saintifik berkenaan semua ini?

Penjelasan di sebalik ‘misteri’ ini

Bagi sesetengah orang benda ni misteri, tetapi ramai juga yang sudah tahu perkara ini. Terutama sekali yang rajin bertanya dekat guru Sains korang masa sekolah dulu.

Alasannya adalah; Ini kerana wap air yang dilepaskan daripada mulut kita ke arah pengasah pensil apabila kita meniupnya.

Tanpa tak sedar kita telah melepaskan cecair ke permukaan besi.

Lebih teruk kalau korang jenis kaki sembur keluar terus air liur, ewwww. Memang mempercepatkan lagi proses itu.

Sementara itu, ‘pisau’ pengasah pensil itu pula adalah besi.

Jadi korang masih ingat tak formula kimia ringkas ketika besi dipenuhi wap air?

Nah:

Wap air (H2O) + Besi (Fe) = Karat besi (Fe2O3.nH2O)

Dalam bahasa ringkasnya, besi yang terkena air akan berkarat. Ianya adalah proses elektrokimian.

Karat adalah hasil kakisan, iaitu proses pengoksidaan logam. Besi yang mengalami karat akan membentuk karat dengan formula Fe2O3.nH2O.

Dalam proses pengaratan, zat besi (Fe) bertindak sebagai agen pengurang dan oksigen (O2) yang dilarutkan dalam air bertindak sebagai pengoksidasi.

Oleh itu, kita dapat menyimpulkan, pengasah akan menjadi tumpul kerana besi berkarat jika kita terlalu kerap meniupnya.

Walaupun ianya masih nampak cantik, namun secara perlahan lahan ianya sedang mengalami proses pengaratan.

Habis tu macamana dengan pisau kat rumah?

Terdapat juga yang bertanya, kenapa pisau kat rumah tak tumpul pula walaupun kerap basah?

Sebenarnya, bukan semua besi mudah berkarat.

Kerana biasanya pisau dan objek tajam lain menggunakan (baja) Steel ataupun yang besi yang tahan karat dan tidak mudah dioksidakan.

Jadi, syarikat pengeluar sharpener tidak akan meningkatkan kos mereka untuk menjual harga mahal sebijik pengasah pensil hanya kerana ia diperbuat daripada logam mahal ataupun stainless steel.’

Rumusannya, ianya bukan sekadar teori bahawa pengasah pensil kalau ditiup akan jadi tumpul.

Ini kerana tindakan kita meniup pengasah pensil itu secara tak langsung mengeluarkan wap air.

Jadi pesanan keramat ini masih boleh korang wariskan kepada anak anak korang yang bersekolah.