Pengurus Ajax Yakin Antony Akan Kekal: “Orang Gila Sahaja Sanggup Gadaikan Aksi UCL Untuk UEL”

Pengurus Ajax tampil dengan kenyataan menyindir Manchester United yang tidak bermain di Liga Juara Juara Eropah ketika ditanya tentang berita Antony mendesak mahu ke kelab itu.

Pengurus Ajax, Alfred Schreuder mengingatkan Manchester United mengenai status Liga Juara-Juara Eropah yang tidak ada pada mereak, ketika mereka meneruskan usaha mereka untuk mendapatkan Antony.

United dijangka kembali menghubungi  Ajax dengan tawaran yang lebih baik untuk pemain sayap Brazil itu. Perkara itu telah mengganggu persiapan era baharu Schreuder di Amsterdam.

Ajax menolak tawaran pembukaan €80 juta daripada United untuk Antony. Ini selepas Ajax kehilangan pengurus, penolong dan ramai pemain utama mereka daripada pasukan yang memenangi Eredivisie Belanda musim lalu pada awal musim panas.

Antony awalnya bukan dalam senarai keutamaan Ten Hag ketika dia mulai menyertai Man United. Namun selepas kegagalan mendapatkan penyerang baharu dan sasaran utama seperti De Jong, maka Ten Hag mulai menjadikan Antony sebagai sasaran utama.

Manchester United kini dilaporkan dalam perbincangan lanjut mengenai Antony selepas menunjukkan hasrat mereka untuk menaikkan tawaran itu kepada sekitar €90 juta, termasuk bonus tambah an. Dan Schreuder pastinya sudah bersedia dengan soalan daripada wartawan tentang masa depan pemain berusia 22 tahun itu semasa sidang akhbar undian Liga Juara-Juara Eropah.

Ditanya sama ada Antony boleh dikira ‘gila’, jika dia sanggup menggadaikan ataupun menukar bola sepak Liga Juara-Juara Ajax untuk bermain dalam Liga Europa bersama United, Schreuder menjawab: “[Ya] sama sekali.”

Tambahnya lagi, dia ‘yakin’ bahawa pemain sayap lincah itu akan kekal dalam skuadnya selepas tarikh akhir perpindahan 1 September.

United gagal layak ke Liga Juara-Juara musim ini selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga keenam pada 2021/22. Mereka ketika itu hanya mengutip 58 mata.

Ajax pula baru sahaja diundi berada dalam Kumpulan A. Gergasi Belanda itu akan berdepan pemenang enam kali Liga Juara-Juara, Liverpool, pasukan kuat dari Serie A Napoli dan finalis Liga Europa 2022, Rangers.

Semasa sidang akhbarnya selepas undian, Schreuder juga seolah-olah menghantar mesej tidak langsung berbaur rayuan, kepada lembaga Ajax mengenai pendiriannya mengenai masa depan Antony.

Dia mahu pengurusan tertinggi tidak melayan tawaran Manchester United ke atas Antony.

Ini ditambah dengan fakta bahawa dia sebelum ini kehilangan Sebastien Haller kepada Borussia Dortmund dan Lisandro Martinez kepada United, bermakna kelab itu tidak terdesak menjual pemain demi wang tunai lagi.

“€80 juta adalah wang yang banyak; €100 juta? juga wang yang banyak,” kata Schreuder.

“Tetapi saya menjelaskan bahawa kami sudah menjual ramai pemain, jadi tidak bagus jika kami menjual pemain lain. Antony tidak berlatih dengan kumpulan pemain lain, tetapi saya melihatnya setiap hari. Tiada apa yang berubah sejak Ahad lepas. Kami tidak mempunyai tarikh akhir [untuk perpindahan Antony].”

“Tetapi saya menjangkakan Antony akan kekal. Dia mempunyai kontrak di Ajax.”

Adakah benar Antony akan terus kekal di Ajax? Atau adakah Schreuder sanggup mengekalkan pemain yang tidak gembira di dalam pasukannya. Drama Antony ni boleh tahan juga ye, sama ada di kem Ajax atau Manchester United.

Baca yang lain