Pengurus Getafe Tuduh Pengadil Pilih Kasih & Tak Amalkan Protokol Anti-Violence Ketika Greenwood Diejek

Pengurus Getafe, Jose Bordalas terkejut dengan pengadil perlawanan yang berterus terang menyatakan dia sudah menyampah dengan kelab tersebut.

Bordalas menghentam secara terbuka sikap pengadil bernama Figueroa Vazquez yang dianggap prejudis ke atas kelab itu.

Dipetik dari sumber Marca, Bordalas berkata: “Pengadil menghempas pintu selepas tamat perlawanan. Dia berkata, saya dah cukup menyampah diletakkan [bertugas] dengan pasukan ini.

“Bayangkan jika ada pemain atau pengurus berkata sebaliknya. Sudah tentu mereka akan dikenakan tindakan.”

Bordalas mengesahkan bahawa kelab sudah membuat aduan rasmi tentang perkara tersebut. Namun La Liga langsung tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Vazquez.

“Sehingga sekarang, apa tindakan yang telah diambil ke atas pengadil? Ia perkara yang kami tidak faham. Kenapa dia boleh bosan dengan pasukan kami?” soal Bordalas lagi.

Seterusnya Bordalas juga menegaskan bahawa pasukannya seringkali dilayan teruk oleh pengadil tersebut di atas padang. Bordalas mempersoalkan tindakan pengadil yang memutuskan untuk meneruskan perlawanan walaupun Mason Greenwood diejek secara perkauman dan diancam mati.

Pengurus Getafe itu mempersoalkan di mana tindakan pengadil dalam protokol anti keganasan ke atas pemain? Selepas Greenwood menerima serangan verbal daripada penyokong Alaves.

“Butiran paling penting adalah, mereka bersorak: Greenwood pergi mati. Protokol keselamatan pemain jelas sekali menyebut, jika ianya berlaku kali kedua, maka perlawanan harus dihentikan. Dan pemain harus diarahkan masuk ke bilik persalinan.

“Namun Vasquez tidak melakukannya, dan jika pengadil sendiri tidak melaksanakan protokol keselamatan ini, maka cacian dan rasisme ke atas pemain tidak akan pernah berakhir. Ini yang membuatkan kami benar benar marah.

Bordalas turut menegaskan bahawa kejadian serupa berlaku ketika Greenwood dicaci oleh penyokong Osasuna dan Bilbao.

Bordalas kecewa dengan pengadil yang dianggap pilih kasih. Pemain pemain Alaves dituduh banyak melengahkan perlawanan, namun tidak dikenakan tindakan.

“Tak banyak aksi dalam perlawanan ini, kerana kami kehilangan banyak masa. Ianya perkara sama macam sebelum ini. Pengadil hanya mengambil tindakan jika pemain Getafe yang melengahkan perlawanan atau melakukan kesalahan.

“Pengadil patut mencatit nama dan kesalahan serta memberikan kad, ada pegawai keempat yang boleh membantu melakukannya. Mereka sepatutnya menambah masa kecederaan 3 minit lagi kerana terlalu banyak gangguan,” tegas Bordalas.