Pengurus Maghribi: “Kami Tewaskan Brazil Selepas Berbuka Puasa Dan Solat Tarawih, Ini Gila”

Pengurus Maghribi, Walid Ragragui benar benar gembira dengan kejayaan pasukannya menewaskan Brazil pada aksi persahabatan baru baru ini.

Ragragui memberitahu bahawa pasukannya menang pada malam bulan puasa, selepas beberapa jam anak anak buahnya berbuka puasa dan solat tarawih.

Maghribi menang 2-1 ke atas pasukan di ranking no.1 dunia, Brazil.

Meneruskan lagi kisah dongeng bola sepak mereka selepas kejayaan mara sehingga ke separuh akhir Piala Dunia 2022.

Sebelum sepak mula, pemain pemain Maghribi diarak oleh peminat mereka sebagai wira negara. Ini selepas kejayaan mereka mencipta sejarah luar biasa pada Piala Dunia 2022 yang lalu.

Stadium mereka meriah dengan sorakan penyokong yang mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada salah sebuah pasukan terbaik pada Piala Dunia 2022 yang lalu.

Maghribi menunjukkan bahawa mereka sebelum ini bukan bergantung kepada nasib semata mata ketika mengenepikan cabaran pasukan seperti Belgium dan Portugal di Piala Dunia 2022.

Sayang sekali perjalanan kempen Piala Dunia mereka terhenti di separuh akhir selepas kekalahan 0-2 di tangan Perancis.

Regragui dan anak anak buahnya membuktikan bahawa mereka masih memiliki semangat yang kental seperti mana yang mereka tunjukkan pada Piala Dunia yang lalu.

Mereka tidak gerun menentang juara dunia 5 kali, yang juga merupakan pasukan no.1 dunia pada ranking semasa FIFA, iaitu Brazil.

Maghribi menang 2-1 hasil jaringan Sofiane Boufal dan Abdelhamid Sabiri. Manakala gol Brazil pula dijaringkan kapten baharu mereka, Casemiro.

Ragragui mendedahkan bahawa, ketika mereka menentang Brazil, anak anak buahnya baru sahaja berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih. Dan itu yang menjadikan kemenangan ke atas Brazil lebih manis.

Ragragui berkata: “Kami mengalahkan Brazil ketika bulan Ramadan, selepas berbuka puasa dan solat tarawih, itu memang gila.”

Maghribi adalah negara yang 99% penduduknya adalah beragama Islam.

Boufal kemudian menambah bahawa pasukan mereka masih lagi dalam ‘mimpi indah’ pada masa ini.

“Kami masih di dalam ‘mimpi’. Kami meneruskan momentum kami dari Piala Dunia yang lalu, dan ianya benar benar mengujakan.”

Maghribi akan beraksi menentang sebuah lagi pasukan daripada Amerika Selatan iaitu Peru pada 28 Mac.

Baca yang lain