Penjaga Gol Ini Kongsi Cerita Luar Biasa Messi Turut Meminta Jersinya

Edgard Badia menganggap bahawa beliau baru sahaja ‘memenangi trofi’ dalam kariernya. Ini kerana pemain itu tidak percaya bahawa Lionel Messi meminta jersinya, ketika dia meminta jersi Messi.

Lionel Messi dan Edgar Badia bertemu satu sama lain dalam aksi antara Barcelona menentang Elche beberapa hari lalu. Di mana skuad Ronald Koeman berjaya menewaskan Elche 3-0 dalam aksi saingan La Liga di Nou Camp.

Lionel Messi menjadi pemain watak utama dan arkitek Barca dalam perlawanan ini selepas beliau cemerlang menjaringkan dua gol dalam membantu skuadnya mengutip tiga mata penuh.

Penjaga gol Elche, Badia awalnya mengalami mimpi ngeri terpaksa berhadapan dengan pemenang enam kali gelaran Ballon d’or itu.

Namun, sebaik tamat perlawanan mimpi ngeri itu berubah menjadi mimpi indah bahkan menjadi malam paling bermakna untuk penjaga gol itu.

Messi meminta untuk menukar jersinya dengan penjaga gol berusia 29 tahun itu dan ia sememangnya menjadi detik terindah dalam karier bintang Elche itu.

Badia merupakan pemain yang telah dilahirkan di Catalan dan beliau berasa sangat terkejut ketika Messi memberitahunya:”Berikan jersi kamu juga kepada saya.”

Beliau dengan pantas membuka jersinya untuk ditukarkan dengan jersi milik salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman itu.

Badia tidak percaya dengan sifat terpuji bintang Barcelona itu. Malah beliau sebenarnya merasakan, mendapat jersi Messi pun agak mustahil. Namun hari itu dia mencubanya.

Badia kemudian berkongsi detik tersebut. Beliau berkata: “Saya tak pernah menang apa apa anugerah dalam karier sebagai pemain bola sepak profesional, namun dengan memiliki jersi Leo Messi ianya sama nilai dengan memenangi trofi.”

“Saya bertanya kepada Messi, boleh tak saya dapatkan jersinya, dan dia dengan rendah hati memberikannya kepada saya. Saya sangat teruja melihat tindakan yang sangat mulia itu.”

“Namun saya menjadi lebih teruja apabila Messi turut meminta jersi saya.”

“Sekarang saya faham tentang kemuliaan hati kamu, dan betapa besarnya diri kamu sebagai seorang pemain bola sepak. Ianya impian menjadi nyata. Pasukan saya kalah, namun saya berjaya mendapatkan jersi daripada GOAT.”

Jersi sang kolektor

Penyerang Barcelona itu mungkin tidak sering meminta untuk menukar baju, tetapi dia ternyata mempunyai banyak koleksi jersi dari pemain hebat.

Bintang Barcelona Lionel Messi sebelum ini mendedahkan bahawa Zinedine Zidane adalah satu-satunya pemain yang pernah dimintanya terlebih dahulu untuk menukar baju.

Messi boleh menjadi pemain yang menjadi sasaran pemain lawan untuk menukar jersi selepas perlawanan. Jadi tidak sukar untuk pemain itu mengumpul jersi jersi pemain handalan yang lain.

Messi memiliki bilik khas untuk menyimpan koleksi jersinya, malah ada beberapa jersi dari kelab saingan sukar Barca, Real Madrid.

Jersi Angel Di Maria, Iker Casillas, dan Real Madrid Raul dilihat dalam foto Messi dengan koleksi jersinya yang dia muat naik ke akaun Instagram peribadinya beberapa tahun lalu.

Jersi rakan-rakannya di Camp Nou pada masa ini dan dalam tempoh sebelumnya seperti Luis Suarez, Gerard Pique, Lucas Digne, Cesc Fabregas, Dani Alves juga dilihat bersama dengan jersi  bintang Liga Perdana Inggeris seperti Sergio Aguero dan Yaya Toure juga ada.

Jersi itu bertuliskan nama Pablo Aimar, yang juga pemain idola Messi. Terdapat juga jersi Bayern Munich dengan nama Philipp Lahm, serta jersi AS Roma dengan jersi nombor 10 legenda milik Francesco Totti.

Paling mengejutkan adalah jersi pemain tengah West Ham yang merupakan rakan senegaranya, Manuel Lanzini, juga dilihat dalam koleksi Messi.

Mungkin nama Badia akan menjadi paling rare selepas ini.

Cuma tidak ada lagi jersi Cristiano Ronaldo, seteru utamanya. Dalam beberapa tahun ini kedua dua mereka kelihatan saling menghargai antara satu sama lain.

Malah Ronaldo mengimpikan duduk makan malam bersama Messi jika ada kesempatan.