Penyertaan Atlet Israel: MOM Kerjasama Dengan KBS Bawa Isu Kepada Kabinet

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membantu dalam membangkitkan isu berkaitan penyertaan atlet Israel di Malaysia kepada kabinet tidak lama lagi.

Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Malaysia perlu mendapatkan keputusan muktamad mengenai isu berkenaan jika tidak keadaan akan menjadi lebih teruk dari segi penganjuran acara sukan antarabangsa pada masa depan.

“Kita akan berhubung dengan kementerian untuk membawa perkara ini kepada kerajaan bagi mendapatkan penyelesaian terbaik untuk masa depan kerana jika kita mahu terus menganjurkan kejohanan antarabangsa, ini adalah isu yang pada asasnya akan timbul.

“Kita memandang serius isu ini dan meminta kerajaan segera melihat perkara ini kerana masyarakat sukan dunia sedang menunggu maklum balas daripada kita,” katanya pada sidang media pada Rabu.
Mohamad Norza berkata beliau juga telah bertemu dengan wakil Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membincangkan perkara berkenaan baru-baru ini.

Selasa lepas, sebuah portal berita asing melaporkan bahawa IOC telah mengeluarkan satu lagi amaran kepada negara yang enggan membenarkan atlet dari negara tertentu menyertai kejohanan besar atas sebab politik.

IOC memetik pembatalan Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia pada 7 hingga 11 Disember di sini, atas sebab keengganan Malaysia membenarkan atlet Israel memasuki negara serta Kejohanan Tinju Dunia AIBA yang menyaksikan pasukan tinju Kosovo tidak dibenarkan bersaing di Serbia.

Mohamad Norza turut memberi jaminan MOM akan terus berhubung dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan mereka menyampaikan penjelasan yang betul berhubung isu tersebut.

“Sebagai contoh, mengenai kejohanan skuasy itu, kita telah memberikan penjelasan hingga peringkat Persekutuan Skuasy Dunia. Bagaimanapun, kami di MOM berpendapat bahawa kerajaan perlu membuat keputusan muktamad mengenai perkara ini. Saya rasa tidak sepatutnya terlalu banyak politik dalam sukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail percaya kerajaan akan memberi perhatian terhadap perkara itu termasuk mengadakan perbincangan dengan pihak dan agensi berkaitan tidak lama lagi bagi membantu mereka mengambil tindakan seterusnya berhubung isu tersebut.

— BERNAMA

Baca yang lain