Pep Terduduk, Peminat Arsenal Pula Kecewa Son ‘Miss’ Peluang Keemasan Ini

Ia akan dikenang sebagai momen paling penting dalam sejarah Manchester City jika mereka bergelar juara EPL akhir musim ini.

Di mana penjaga gol gantian, Stefan Ortega menafikan percubaan Son Heung Min dengan menghadangnya menggunakan kaki.

Pep Guardiola yang jantungnya hampir gugur terduduk di tepi padang melihat momen itu.

Detik itu berlaku pada minit akhir separuh masa kedua ketika Man City hanya 1 gol di hadapan. Man City tidak boleh keciciran sebarang mata dalam perlawanan ini.

Jika seri mereka akan di belakang Arsenal dari segi perbezaan jaringan.

City mendahului menerusi gol oleh Erling Haaland minit ke-51. Spurs kemudian hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-86 apabila Son Heung Min menggunakan kelajuannya mengatasi perangkap ofsaid.

Malang sekali, Mr. Reliable untuk Spurs itu kali ini gagal menewaskan Stefan Ortega.

Jamie Carragher menganggap Stefan Ortega secara asasnya sedang memenangkan Man City Liga Perdana Inggeris.

“Hakikatnya, kita berikan Man Of The Match kepada Stefan Ortega, berdasarkan prestasi dia malam ini sahaja, dia memenangkan kejuaraan EPL untuk Manchester City.

“Ini bukan tentang gol Haaland atau assist daripada De Bruyne. Jika dia tak melakukan penyelamatan itu yang mengekalkan kedudukan 1-0, Arsenal akan menjuarai musim ini.

“Inilah dia betapa hampirnya mereka [Arsenal daripada kejuaraan].”

“Sebagai penyokong Liverpool saya pernah merasai detik itu ketika aksi Liverpool lawan Leicester. Dan momen itu berlaku pada peminat Arsenal kali ini. Peluang daripada Son itu akan diingati oleh peminat Arsenal untuk 5, 10 atau 15 tahun akan datang,” tegas Carragher.

“Walaupun mereka mungkin akan memenangi liga dalam 5 atau 6 tahun selepas ini. Mereka ada peluang yang baik untuk melakukannya, kerana ada pasukan yang hebat dan pengurus yang hebat. Namun peluang itu tadai akan tetap menghantui mereka.”

Peminat Spurs di media sosial pula ramai yang lega Son terlepas peluang itu. Walaupun mereka sebenarnya baru terlepas slot UCL musim depan.

Aston Villa secara rasminya layak ke UCL musim hadapan dengan mengesahkan kedudukan di tangga keempat selepas kekalahan Spurs 2-0. Dengan Halaand sempat menambah satu lagi gol selepas itu menerusi sepakan penalti.

Sekaligus menguatkan lagi kedudukannya sebagai penjaring terbanyak EPL musim ini.

Penyokong Arsenal di AFTV juga benar benar kecewa melihat kegagalan Son Heung Min menyumbat masuk peluang 1 lawan 1 itu.

Mereka seolah olah tidak percaya pemain antarabangsa Korsel itu gagal mencetak gol daripada kedudukan itu.

Seorang peminat Arsenal sempat menulis: “Son, kamu baru saja terlepas peluang untuk mendengar nama kamu disorak oleh peminat Arsenal buat selamanya.”