Sebelum ini, Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan agar pasukan liga Malaysia berunding dengan pemain bagi pemotongan gaji sepanjang penangguhan liga kerana covid-19.
Stuart menegaskan tindakan mereka mengarahkan pemain dan pasukan berunding bagi mencapai kata sepakat berkenaan pemotongan gaji bukannya kerana mereka ada agenda tersembunyi.
Jauh sekali mahu menganiaya mana-mana pemain, menurut beliau. Namun ianya diambil demi untuk kelangsungan hidup bola sepak Malaysia.
Stuart Ramalingam berharap kenyataan FAM tidak disalah tafsirkan. Ini kerana kebajikan pemain dan pegawai tetap menjadi keutamaan dalam apa keadaan sekalipun.
Stuart berkata: “FAM mencadangkan keputusan sukar ini dibuat secara kolektif dalam keadaan realiti industri semasa tanpa mengetepikan kepentingan pemain dan pegawai.”
“Kami harap semua termasuk peminat dan media, melihat langkah ini sebagai satu cara melindungi kepentingan semua pihak.”
“Harus diingat, FAM bukan sekadar melindungi pemain dan pegawai, bahkan bertanggungjawab memayungi kelab, liga dan pemegang kepentingan lain.”
“Hanya dengan industri yang mampan dan berterusan, kita dapat bertahan dalam situasi yang dianggap genting ini,” katanya.”
FAM memberi tempoh sehingga 22 April ini kepada semua pasukan dan pemain untuk mencapai persetujuan berkenaan pemotongan atau penstrukturan gaji pemain dan pegawai.
Menurut FAM, saranan itu selari dengan arahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Jawatankuasa Khas Covid-19 untuk mencari penyelesaian terbaik pada ketika krisis covid-19.
Di mana ia memberikan impak yang sangat besar kepada pasukan.
“Dengan keadaan yang tidak menentu ini, keputusan yang FAM ambil adalah bersandarkan kepada kelangsungan liga, kelestarian pasukan atau majikan dan kebajikan pemain serta pegawai dan kepentingan pemegang taruh yang lain.” katanya lagi.
PFAM letak syarat
Kenyataan itu mendapat perhatian Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).
PFAM meletakkan dua syarat yang harus dipatuhi pasukan atau kelab Liga Malaysia (Liga-M) sebelum membincangkan isu pemotongan atau penangguhan gaji pemain.
Ini adalah penting bagi memastikan tiada pemain yang teraniaya dan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan.
Menurut PFAM, antara syarat yang perlu dipatuhi pasukan atau kelab adalah; Pasukan wajib menyelesaikan tunggakan gaji sebelum pandemik Covid-19 bermula.
Seterusnya adalah, rundingan atau persetujuan perlu dibuat secara individu dengan pemain dan bukannya berkumpulan.
PFAM menegaskan bahawa setiap pemain mempunyai nilai gaji yang berbeza, keperluan yang berbeza dan selayaknya bersetuju atas nilai pemotongan yang berlainan antara satu sama lain.
PFAM masih berpegang kepada prinsip betapa kontrak antara kedua-dua pihak perlu dihormati dan dilaksanakan sebaiknya.
“Namun begitu, perlu diingatkan juga, sebelum berlakunya pandemik ini, masih lagi terdapat beberapa pasukan yang sudah pun mempunyai tunggakan gaji kepada pemain.
“PFAM tidak mahu pasukan ini, menjadikan alasan Covid-19 sebagai punca permasalahan mereka, sedangkan sudah pun wujud sebelum pandemik ini bermula.
“Apa yang dikesalkan oleh PFAM sebelum ini adalah, pihak majikan ibarat ‘memaksa’ pemain untuk menyatakan persetujuan dengan cepat berhubung isu pemotongan gaji sedangkan pihak majikan masih berlengah berhubung tunggakan gaji kepada para pemain.”
Sementara itu, PFAM juga, memohon pihak FAM dan MFL, untuk membantu pasukan yang mempunyai masalah kewangan supaya pemain tidak menjadi mangsa.
Yusoff Mahadi bidas PFAM
Kenyataan PFAM tersebut dibantah oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Wira Yusoff Mahadi.
Beliau berkata; “Yang lebih penting adalah pemain dan majikan terlebih dahulu.”
“Selepas itu, kalau tidak pemain berpuas hati, (barulah) mungkin melibatkan PFAM.”
“Pasukan-pasukan boleh berunding dengan pemain walaupun ada gaji yang masih belum diselesaikan (tertunggak).”
“Maksudnya, kalau Melaka belum gaji dua bulan lalu, harus ada komitmen daripada pasukan itu terlebih dahulu bahawa ia (gaji dalam tempoh itu) tidak akan dipotong, tidak diusik.”
“Kalau nak tunggu gaji mereka dibayar, tempoh itu mestilah selepas 22 April depan,” katanya kepada wartawan Nadi Arena.
Selain itu Yusoff Mahadi mahu perkara ini diselesaikan terlebih dahulu dengan melibatkan pihak pemain dan persatuan tanpa kehadiran PFAM.
“Kami mungkin akan memotong gaji pemain yang berharga RM20,000 dan RM30,000 ke atas berdasarkan peratusan yang berbeza atau mungkin juga pemain bergaji rendah tidak perlukan pemotongan langsung.
“Kami bersetuju dengan saranan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa kami (majikan) perlu berjumpa dengan setiap pemain agar semua pihak dapat memahami dan berpuas hati dengan pemotongan (yang dikenakan),” katanya lagi.
Selain itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustafa, meminta PFAM agar tidak terlalu lantang mengkritik usaha yang diambil persatuan.
Menurut beliau KLFA sendiri sudah ada ketetapan untuk membuat pemotongan gaji,
Namun ia bergantung kepada kadar bayaran gaji pemain sebelum pemotongan di antara 10 ke 20 peratus diketengahkan.
“Kalau diikutkan, FIFA sudah minta pemain bincangkan (pemotongan gaji), apa salahnya pemain bantu.
“(Jumlahnya) bukan dipotong semua pun tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat tolong pihak persatuan,” katanya.
Ketika banyak persatuan yang melihat pemotongan gaji jalan terbaik, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pula menegaskan, isu penggajian tidak dilihat sebagai keperluan ketika ini.
“Perbincangan dua hala akan dibuat.
“Buat masa ini, FAS telah memberi jaminan bahawa dana yang ada mencukupi untuk menampung perbelanjaan sepanjang musim ini ,” kata Pengurus Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid.
TMJ senada dengan PFAM
Dalam kenyataan terbarunya di JST, pemilik Johor Darul Tazim, TMJ senada dengan PFAM.
Di mana menurut beliau, sebelum setiap pasukan memotong gaji pemain, pastikan mereka melangsaikan terlebih dahulu tunggakan gaji sebelum ini.
TMJ menegaskan: “Kebanyakan pemain di dalam negara bersedia untuk memberi kerjasama dengan kelab atau pasukan mereka berkaitan pemotongan gaji disebabkan oleh pandemik Covid-19.”
“Tetapi sebelum pasukan memotong gaji tersebut, pastikan bahawa kelab atau pasukan yang berhutang dengan pemain menyelesaikan hutang tersebut dengan pemain terlebih dahulu.”
“Jangan masih ada tunggakan dua atau tiga bulan gaji tidak dibayar tetapi hendak menggunakan alasan Covid-19 untuk membuat pemotongan gaji.”
“Pasukan seperti Kedah, Kelantan, Melaka United dan Pulau Pinang harus menyelesaikan hutang dengan pemain mereka sebelum memotong gaji ekoran pandemik ini.”
“Ini bukan soal pemain tidak mahu memberi kerjasama, malah semua pemain bersedia untuk bekerjasama. Tetapi pastikan segala hutang dengan pemain diselesaikan terlebih dahulu sebelum memberi alasan Covid-19 untuk memotong gaji mereka.”
“Kebanyakan pasukan bergantung 100% peruntukan daripada kerajaan negeri dan tidak mungkin pasukan-pasukan ini masih tidak membayar gaji.”
“Ini boleh diumpamakan seperti tidak memegang amanah dengan sewajarnya. Mana-mana pasukan tidak seharusnya membebankan kerajaan negeri.”
Rujukan
1. Stadium Astro
2. Berita Harian
3. Harian Metro