Percubaan Terakhir Boehly Dapatkan Enzo: ‘€100 Juta ‘Plus’ Mana Mana Pemain Kau Suka’

Todd Boehly nampaknya mengotakan janjinya bahawa dia akan cuba sedaya upaya mahu membawa Enzo Fernandez menyertai Chelsea pada Januari.

Enzo Fernández hanya berada di Portugal selama enam bulan selepas Benfica membayar €14 juta kepada gergasi Argentina, River Plate pada Julai tahun lalu.

Pemain berusia 21 tahun itu menarik perhatian di Eropah selepas mempamerkan aksi hebat pada Piala Dunia 2022, di mana dia menjadi juara dunia bersama Argentina.

Enzo Fernandez turut dinobatkan sebagai muda terbaik Piala Dunia 2022.

Fernández telah membantu pasukan kelabnya mencatat rekod tanpa kalah dalam 22 perlawanan dan memenangi kumpulan Liga Juara-Juara walaupun terdapat PSG dan Juventus.

Prestasi di Benfica benar benar membantunya meningkatkan permainannya sehingga menjadi nadi utama Argentina memenangi Piala Dunia 2022.

Walaupun dia baru sahaja mengumumkan dirinya di pentas global, Chelsea kelihatan bersedia untuk membayar untuk pemain tengah berbakat itu.

Chelsea yang kini sudah berbelanja sekitar €533 juta sedia menambahkan lagi angka itu kira kira €120 juta lagi, mengambil kira kemungkinan mereka akan membayar klausa pelepasan Enzo Fernandez.

Benfica: Hanya klausa pelepasan sahaja boleh membuatkan Enzo berpindah

Benfica sebelum ini bertegas, mereka tak akan melepaskan Enzo Fernandez kecuali Chelsea dan Enzo Fernandez setuju mengaktifkan klausa pelepasan €120 juta, tak sesen pun kurang.

Pada Disember, Chelsea menawarkan pakej mencecah €127 juta secara ansuran dan bonus untuk pemain itu. Namun Benfica mahukan €120 juta bayaran tetap.

Chelsea kemudian mencadangkan tawaran €90 juta ditambah dengan Ziyech serta meminjamkan dua pemain mereka iaitu Datro Fofana serta Andrey Santos.

Benfica kemudian meminta Chelsea membayar klausa pelepasan yang ada pada pemain itu. Namun Chelsea menyatakan mereka tidak mampu untuk membayarnya. Dan kini tiba tiba kelab itu mahu berunding lagi.

Boehly yang masih menjadi ketua rekrut pemain di Chelsea sedia menawarkan pakej €100 juta ditambah mana mana pemain yang Benfica mahukan. Berbanding dengan €90 juta ditambah Ziyech dan pakej pinjaman 2 pemain.

Ianya memang pakej gila! Kerana Benfica boleh mendapatkan pemain yang Chelsea baru beli sekalipun.

Bayangkan Mudryk yang baru tiba di Chelsea, diminta mengemas barang untuk ke Benfica sebagai sebahagian syarat perjanjian mendapatkan Enzo Fernandez.

Namun Mudryk mungkin bukan pilihan yang baik untuk Benfica memandangkan gajinya yang agak tinggi untuk ditanggung kelab itu.

Walaupun sebelum ini Enzo Fernandez pulang ke Argentina tanpa kebenaran kelab, namun setibanya dia kembali ke kelab itu, dia kembali menunjukkan aksi terbaiknya.

Pengurus Benfica, Roger Schmidt menegaskan bahawa dia tak pernah meragui profesionalisme pemain itu.

Benfica masih berkeras enggan melepaskan pemain itu pada sebarang harga. Namun Todd Boehly yakin bahawa pemain itu akan menjadi milik mereka sebelum jendela perpindahan ditutup.

Baca yang lain