Perjalanan Karier Pengurusan Diego Maradona

Diego Armando Maradona memiliki bakat semulajadi yang menakjubkan bagi seorang pemain bola sepak. Dianggap antara pemain terbaik sepanjang zaman, beliau memimpin Argentina memenangi Piala Dunia pada tahun 1986 di Mexico.

Beliau kini merupakan pengurus pasukan Gimnasia La Plata yang menduduki tangga ke-19 di Liga Argentina.

Mari bersama penulis kita soroti perjalanan Maradona dalam bidang pengurusan bola sepak yang diceburinya selepas menggantung but.

Permulaan Karier

Memulakan karier sebagai pengurus di Deportivo Textil Mandiyú yang bermain di liga bawahan Argentina pada tahun 1994 namun hanya bertahan selama beberapa bulan. Dengan hanya 1 kemenangan dari 12 perlawanan, adalah tidak pelik beliau dipecat.

Racing Club datang memanggil. Kali ini, rekodnya lebih baik dari sebelumnya dengan 2 kemenangan dari 11 perlawanan. Peratusan kemenangan naik dari hanya 8% kepada 18%.

Setelah dipecat, Maradona tidak terlibat dengan dengan bidang pengurusan hampir 13 tahun.

Membimbing Albiceleste

Argentina dalam bahaya untuk terlepas tiket ke pusingan akhir Piala Dunia 2010. Setelah pengunduran Alfio Basile, Albiceleste memerlukan pengurus yang mampu menaikkan semangat pemain yang kian pudar.

Hanya seorang calon yang difikirkan mampu menggalas tugas berat itu. Tidak lain tidak bukan ialah Maradona, kapten yang menjulang Piala Dunia.

Bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan Scotland 1-0 di Hampden Park, stadium di mana beliau menjaringkan gol pertamanya untuk skuad kebangsaan.

Argentina menang 2 perlawanan seterusnya dan ini memberi sinar harapan kepada penyokong Albiceleste.

Tragedi La Paz

1 April 2009, Argentina meneruskan misi ke Afrika Selatan dengan menentang Bolivia di La Paz. Bermain di Estadio Hernando Siles yang berada lebih 3000 kaki di atas paras laut bukan sesuatu yang mudah.

Pemain yang tidak biasa bermain pada altitud yang tinggi akan mengalami kesukaran bernafas dan boleh menjejaskan tahap permainan mereka.

Hasilnya, skuad bimbingan Maradona tewas mengejut 6-1 di tangan pasukan yang hanya memenangi 2 perlawanan kelayakan mereka sebelum ini. Ini merupakan kekalahan terbesar mereka dalam 60 tahun. Dan ini juga bukan April Fools.

4 kemenangan dalam 6 perlawanan seterusnya membantu Argentina layak ke Piala Dunia mengiringi Brazil, Chile dan Paraguay sebagai wakil Amerika Selatan. (Uruguay layak melalui play-off)

Piala Dunia 2010

Menyisihkan Javier Zanetti dan Esteban Cambiasso dari senarai akhir 23 pemain walhal mereka merupakan tonggak utama yang membantu Inter Milan menjulang treble.

Ini menyebabkan Maradona mendapat kritikan dari media di Argentina. Disebalik menerima kecaman hebat, Maradona tetap tegas dengan keputusannya.

Gol jaringan Gabriel Heinze sudah cukup untuk menewaskan Nigeria 1-0 pada perlawanan pembukaan. Jaringan hatrik oleh Gonzalo Higuain membantu Argentina menewaskan Korea Selatan 4-1 dalam perlawanan seterusnya.

Kemenangan 2-0 menentang Greece pada perlawanan terakhir kumpulan melayakkan Albiceleste layak ke pusingan 16 terbaik sebagai juara kumpulan.

Mexico tidak mendatangkan banyak masalah apabila mudah diratah 3-1. Perlawanan itu juga merupakan perlawanan terbaik mereka sepanjang kejohanan.

Gergasi eropah, Jerman menanti di suku akhir. Argentina tewas mudah 4-0 sekaligus menamatkan perjalanan mereka di bumi afrika.

Berikutan kekalahan memalukan itu, kontrak beliau tidak disambung oleh Persatuan Bola Sepak Seluruh Argentina.

Mula Berkelana

Maradona meneruskan karier di timur tengah apabila menyertai Al-Wasl dan Fujairah yang berakhir dengan kekecewaan. Menyertai Dorados, kelab divisyen 2 Mexico namun gagal membawa kelab itu naik ke divisyen utama sebelum mengundurkan diri atas faktor kesihatan.

Rumusan

Kekecewaan lebih banyak menghiasi perjalanan beliau sebagai pengurus. Bagai langit dengan bumi jika nak dibandingkan dengan pencapaian beliau ketika bermain dahulu. Bakatnya dalam bidang pengurusan belum dibuktikan lagi, buat masa ini.

Baca yang lain