Perjanjian Damai Naning & Rembau 1680

Tahukah anda ?

Hari ini 13 Februari pada tahun 1680, Perjanjian Naning dan Rembau dengan Belanda di Melaka telah diperbaharui.

Ia merupakan perjanjian damai di antara negeri-negeri Melayu dengan kuasa penjajah itu.

Ancaman kepada Belanda

Sejak Belanda menawan Melaka pada 14 Januari 1641, ia sentiasa diancam oleh Johor, Naning dan Rembau yang masih ingin membela kejatuhan Empayar Melaka itu.

Walaubagaimanapun, setiap serangan yang dilakukan mereka berjaya dipatahkan oleh pihak Belanda.

Pada 24 Julai 1641 Naning dan Rembau terpaksa menandatangani satu perjajian dengan pemerintahan Belanda di Melaka.

Belanda kuatkan kuasa

Dengan perjanjian itu, Naning dan Rembau mestilah mengiktiraf kedaulatan Belanda di bumi Melaka.

Antara akibat lainnya Naning dan Rembau dipaksa untuk memberi 200 gantang padi dan beberapa orang hamba abdi sebagai denda.

Selain itu, pemerintah Belanda ada hak mutlak untuk melantik pegawai pemungut cukai dari kalangan bangsa Belanda. Pelbagai cukai yang telah dikenakan, antaranya cukai penjualan buah pinang, sireh, padi, cukai tanah dan cukai kepala.

Pada 3 Februari 1643, pihak Gabenor Jeremias van Velt bersama kapten Laurens Forsebvurga dan Shahbandar Jan Janz Menie serta diiringi oleh 60 orang Belanda dan 100 orang tentera tempatan, telah pergi ke Naning.

Perjanjian damai dan tragedi pembunuhan

Tujuannya adalah untuk meminta ketua-ketua Naning untuk berdamai, meminta hamba abdi dan mengerah rakyat Naning menanam lada hitam. Desakan ini telah menaikkan kemarahan pemimpin-pemimpin Naning.

Tidak lama selepas itu, Gabenor Jeremias, Kapten Laurens dan Menie diserang oleh rakyat Naning dan menyebabkan kematian 2 Pegawai Belanda iaitu Kapten Laurens dan Shahbandar Menie. Selepas itu Belanda melancarkan perang keatas Rembau dan Naning pada tahun 1645.

Perlantikan Raja Ibrahim

Keadaan di kawasan tersebut bertambah buruk apabila Naning dan Rembau melantik Raja Ibrahim dari Acheh sebagai pemimpin mereka.

Pada Mac 1677, Raja Ibrahim telah memberi amaran kepada pihak Belanda supaya jangan campurtangan di Naning dan Kapal-kapal beliau di selat Melaka,

Tidak lama kemudian, Raja Ibrahim berjaya menawan Batang Tiga dengan 3700 orang askar.

Tentangan Raja Ibrahim ini telah berakhir bila beliau mati ditangan seorang Bugis bernama Baggia pada tahun 1679.

Setelah Raja Ibrahim mati, Naning dan Rembau menjadi lemah dan terpaksa akur dengan desakan Belanda. Pada hari ini tahun 1680, Perjanjian Damai diantara Naning dan Rembau di Melaka telah temetrai.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Petikan mengenai Perjanjian Naning dan Rembau dengan Belanda di Melaka

Baca yang lain