Perlantikan Tuchel Dianggap Hari Gelap Bola Sepak England, Ini Sebabnya

Media Inggeris, Daily Mail menganggap pelantikan Thomas Tuchel sebagai hari gelap kepada bola sepak England. Ini kerana menurut mereka pelantikan Tuchel adalah satu kesilapan besar FA England.

Daily Mail memuji Gareth Southgate sebagai contoh pengurus terbaik untuk England.

“Gareth Southgate mungkin bukan kegemaran semua orang. Namun dia membawa identiti negara kita membuatkan pemain pemain dan rakyat kita percaya. Dia membimbing kita ke dalam pertandingan utama dengan harapan dan jangkaan tinggi.

“Dia pernah menyarung jersi 3 Singa sebagai pemain dan berbangga dengan negara dan tugasannya. Dia bermain sebagai pemain pada Euro 96, dan dia membawa kita layak ke separuh akhir dan final – dua daripadanya sebagai pengurus. Dia adalah orang kita sendiri.”

Menurut akhbar tersebut lagi: “Bola sepak antarabangsa seharusnya pertarungan antara yang terbaik daripada kami menentang yang terbaik  daripada mereka.”

Mereka juga menuduh FA Inggeris sebagai panik untuk melantik Tuchel selepas pengurus itu dikaitkan dengan Manchester United.

“Sekarang ini kita memiliki Thomas Tuchel, seorang bangsa Jerman yang memiliki rekod pengurusan yang diragukan. FA pula panik mahukan dia macam ayam hilang kepala, mereka nak dapatkan Tuchel sebelum dia terlepas ke Manchester United.

“Jelas sekali Lee Carsley bukan orang yang tepat, namun adakah ini sahaja yang terbaik kita boleh buat?”

Kemudian penulis turut mempersoalkan, adakah semua orang sudah lupa 2 pengurus asing sebelum ini hanya bersikap: ‘ambil duit dan lari’, seperti ditunjukkan Fabio Capello dan Sven Goran Eriksson. Kerana wang tersebut hasil daripada cukai rakyat, dan ianya patut diberikan kepada orang England sendiri.

Mereka juga berkata jika pengurus itu adalah Pep Guardiola, maka mereka boleh tutup mata kerana Guardiola pengurus luar biasa bukannya Thomas Tuchel.

Peminat yang lain pula mempersoalkan kenapa Tuchel harus dilantik, sedangkan England dan Jerman itu musuh di peringkat antarabangsa.

LBC pula mempersoalkan pelantikan Tuchel dengan membandingkan negara bola sepak seperti Brazil, Jerman, Sepanyol dan Argentina.

Panel mereka berkata: “Ok kita mulakan daripada Brazil, sejak 1900-an mereka ada 28 pengurus, ada berapa orang pengurus asing? Kosong.

“Jerman, negara yang sangat berjaya dalam bola sepak, dan mereka ada 12 pengurus, ada berapa pengurus asing? Kosong.

“Baiklah kamu mahu pergi ke Argentina pula, mereka ada 24 pengurus dalam tempoh tersebut. Ada berapa pengurus yang bukan rakyat Argentina? Hanya seorang sahaja.

“Kamu nak ke mana lagi? Sepanyol, ok ini pun negara yang sangat berjaya dalam tempoh tersebut. Dan ada berapa pengurus asing  melatih mereka? Jawapannya kosong.

“Dan kita England, kini menambah seorang lagi menjadikannya 3 orang. Macam saya cakap tadi, ianya dah berakhir untuk kita.”