Pernah Anggap F1 Membosankan, Rossi Kini Berhasrat Jadi Pemandu Ferrari Selepas Bersara

Pelumba veteran Yamaha, Valentino Rossi, berminat untuk mengejar impiannya dalam dunia perlumbaan kereta setelah bersara dari acara MotoGP. Pelumba Itali itu mengakui bahawa dia mempunyai keinginan yang cukup besar untuk mewakili pasukan Ferrari. Jiwa Itali yang ada pada dirinya mungkin menjadi salah satu sebabnya.

Bukan rahsia lagi, Valentino Rossi memang peminat lumba kereta. Dan beliau sudah beberapa kali mencuba memandu kereta FI serta bertanding dalam World Rally Championship (WRC). Selain itu Rossi sudah beberapa kali memenangi Monza Rally Show.

Rossi mengakui pernah ditawarkan oleh Ferrari untuk menjadi pelumba mereka, namun ketika itu Rossi menolaknya kerana beliau berpendapat, untuk menjadi pelumba F1 beliau perlu bermula dari bawah dan bukannya terus menjadi pelumba pasukan utama.

Rossi menguji jentera Ferrari sejak 2004 lagi. Dan paling menarik beliau pernah mencatatkan masa yang hanya dibezakan beberapa saat di belakang Michael Schumacher.

Dalam sidang medianya yang terbaru, Rossi berkata: “Sekiranya saya sudah tidak lagi bertanding di MotoGP, maka saya ingin bertanding dalam acara lumba kereta selama beberapa tahun.”

“Saya mahu mengambil bahagian dalam perlumbaan kereta 24 Jam Le Mans dan perlumbaan kereta endurance yang lain. Sudah tentu impian saya adalah mewakili  Ferrari [Formula 1],” katanya.

“Namun, pertamanya, anda harus melihat di mana tahap saya. Sebabnya, dalam perlumbaan kereta juga terdapat banyak pelumba yang sangat pantas dan hebat,” katanya.

“Saya juga cukup pantas dengan kereta, tetapi saya tidak tahu apakah saya dapat mencapai tahap mereka. Namun, tentunya bagus untuk mencuba.”

Kenyataan Rossi itu agak menarik kerana beliau pernah melabel Formula 1 sebagai perlumbaan yang kadangkala agak membosankan berbanding MotoGP.