Pernah Gagal Trial Di SM Caen, Mbappe Kini Beli Kelab Tersebut Dan Jadi Owner

Jika sebelum ini Kylian Mbappe seringkali diusik sebagai ‘Pemilik PSG’ kerana ada klausa ‘kuasa pemilik’ diberikan kepadanya dalam kontrak dia bersama PSG sebelum ini.

Dalam klausa itu, Mbappe ada ‘suara’ dalam perbincangan melibatkan jual beli pemain atau perlantikan jurulatih di PSG. Klausa itu sebagai syarat khas untuk memastikan Mbappe kekal di PSG pada masa itu.

Dengan menunjukkan betapa seriusnya PSG mahu Mbappe selesa dengan projek kesukanan di kelab itu. Mbappe dilaporkan menjadi punca kenapa Mauricio Pochettino dipecat dan juga pengarah sukan pada masa itu, Leonardo pun turut dipecat.

Hal ini kerana Mbappe tidak gembira dengan taktikal Pochettino dan Mbappe mencadangkan agar PSG mendapatkan Luis Campos sebagai pengarah sukan baharu kelab itu. Campos adalah bekas pengarah sukan AS Monaco yang mengesan bakat Mbappe dan membantu kariernya pada usia awal.

Bakat Mbappe dalam pemilikan kelab bola sepak semakin terserlah apabila dia turut meminta kelab mendapatkan pemain seperti Ousmane Dembele.

Kini pemain itu telah menjadi pemilik kelab Ligue 2, SM Caen. Pada usianya baru 25 tahun, Mbappe sudah memiliki kelab yang boleh dianggap agak besar juga la untuk seorang yang baru berusia 25 tahun. Kelab SM Caen sudah bertapak di Perancis sejak 110 tahun yang lalu.

Mbappe membeli pegangan saham bernilai €20 juta untuk menjadi pemegang saham majoriti di kelab itu yang membolehkan dia menjadi presiden kelab tersebut.

Namun oleh kerana Mbappe sibuk dengan bola sepak, dia pastinya akan menyerahkan jawatan itu kepada seseorang yang dia percayai. Mungkin dari kalangan ahli keluarganya?

Agak menarik kerana pada usianya 13 tahun, Mbappe pernah trial di kelab SM Caen, namun dia gagal mendapatkan kontrak dengan kelab tersebut.

Akhirnya dia kembali semula selepas 12 tahun, dan kini membeli kelab tersebut. Proses memuktamadkan perjanjian pembelian pegangan saham majoriti itu dilaporkan sedang berjalan dan akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

Mbappe dilaporkan akan berkongsi pemilikan dengan Pierre Antoine Capton.