Perubahan Pada Tubuh Selepas Kematian

Perubahan yang berlaku pada tubuh selepas berlakunya kematian.

Serta merta selepas kematian, fungsi otak, pernafasan dan aliran darah akan terhenti. Pada saat ini, tiada lagi pernafasan spontan, bacaan tekanan darah dan denyutan nadi.

Ia dinamakan kematian somatik. Pada waktu ini otot menjadi lemah longlai, manakala kulit menjadi pucat akibat tiada pergerakan darah.

Tubuh badan sedikit demi sedikit menjadi sejuk mengikut keadaan suhu sekitar.

Diikuti oleh kematian cellular, lebih kurang 1 hingga 2 jam kemudian. Kematian cellular bermaksud sel sel di tubuh mulai mati akibat ketiadaan oksigen dan makanan.

 

Umpama seperti sebuah kereta yang kegagalan enjin, radio mungkin boleh berfungsi untuk sementara waktu namun apabila bateri abis, baru radio tersebut mati.

1. Rigor mortis

Meskipun otot menjadi lemah longlai selepas kematian, proses itu memerlukan bahan kimia bernama Adenosine Triphosphate (ATP)

Kira kira 1 jam selepas kematian jumlah ATP di tubuh semakin susut.

Kesannya otot yang longlai tadi menjadi semakin keras dan kejang. 6 jam selepas kematian, tubuh badan menjadi kejang sepenuhnya.

Situasi ini berlanjutan selama lebih kurang 12 jam dan otot akan menjadi longlai semula selepas itu akibat otot mulai membusuk dan mereput.

2. Livor mortis

Juga dikenali sebagai lebam mayat dan berwarna purple kebiruan. Selepas kematian, tiada lagi degupan jantung dan pergerakan darah dalam salur darah.

Darah akan menjadi pegun dan terhenti. Darah itu akan secara semulajadi bergerak ke bawah mengikut tarikan gravity.

Sebagai contoh jika mayat berbaring menelentang, darah akan bergerak turun ke arah belakang tubuh badan. Maka lebam mayat berwarna kebiruan akan kelihatan di belakang badan.

Bahagian badan yang bersentuhan dengan lantai akan kelihatan pucat kerana tekanan dengan lantai menyulitkan darah bergerak ke dalam nya.

3. Pereputan

Proses ini terjadi seawal 1 jam selepas kematian. Di peringkat kematian cellular, enzim dari sel akan dibebaskan dan akan memusnahkan sel itu sendiri (autolysis) ia tidak dapat dilihat oleh mata kasar

Dalam usus kita terdapat pelbagai mikroorganisma terutamanya bakteria. 18 jam ke 24 jam selepas kematian, bakteria akan membiak di situ dan menghasilkan bahan kimia yang menyebabkan kulit menjadi kehijauan.

Proses pembiakan bakteria sedikit sebanyak ‘memakan’ tisu tubuh dan membebaskan gas dan cecair. Ini menyebabkan tubuh menjadi kembung dengan gas dan air.

Kembung menaikkan tekanan perut.Ini menolak cecair keluar dari hidung, mulut dan kemaluan.

Pada masa yang sama, lalat akan mula menetaskan telur di mayat seawal 24jam ke 48 jam. Telur yang menetas akan menjadi ulat dan akan memakan mayat itu.

Tidak dilupakan juga pemangsa lain seperti anjing, musang dan buaya yang mungkin memakan mayat jika kematian berlaku di tempat terbuka.

Kajian tentang perubahan tubuh selepas kematian dapat memberi gambaran tentang bila kematian berlaku.

Meskipun begitu, beberapa faktor lain perlu di ambil kira seperti tahap kesihatan dan fizikal simati, keadaan persekitaran mayat dan juga kesan serangan haiwan pemangsa terhadap mayat.

Artikel ini ditulis oleh seorang Doktor yang sangat berpengalaman dalam bahagian forensik beliau adalah Doktor Zaid Zolkipli